Rasa Tawaduk Yang Membuahkan Kemuliaan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah tidak akan mengurangi harta. Allah pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan. Tidak ada balasan bagi seseorang yang rendah hati kepada Allah (tawadhu’), kecuali Allah mengangkat darjatnya.” (HR Muslim, no. 4689 – Status Hadis Sahih)
Tawaduk adalah sikap pertengahan antara sombong (berbangga diri) dan juga merendahkan diri sendiri secara keterlaluan. Sombong adalah mengangkat diri terlalu tinggi melebihi yang sepatutnya manakala merendahkan diri secara keterlaluan adalah meletakkan diri di posisi terlalu rendah sehingga mengabaikan hak dan keperluan diri.
Islam memilih nilai di pertengahan. Tawaduk adalah sikap orang yang rendah hati kepada Allah. Dia sedar bahawa dirinya hanya kecil di mata Allah, lalu kesedaran itu tergambar pada peribadinya.
Dia tahu Allah Maha Memaafkan, maka dia juga menjadi seorang yang pemaaf. Dia tahu Allah Maha Pemurah, maka dia juga menjadi seorang yang pemurah. Dia tidak mencari kemuliaan di mata manusia, namun Allah sendiri yang memberikan kemuliaan tersebut kepadanya.
Terdapat satu peristiwa yang sangat dekat dengan maksud hadis di atas. Ia tentang kisah Abu Bakar As-Siddiq yang tidak mahu memberikan nafkah harta kepada saudara dekatnya Mistah. Mistah merupakan seorang lelaki yang turut terlibat dalam peristiwa fitnah kepada anak Abu Bakar iaitu Saidatina Aisyah.
Peristiwa fitnah tersebut mengguris perasaannya sebagai seorang ayah, lantas beliau tidak mahu lagi membantu Mistah. Jika difikirkan secara logik, alasan Abu Bakar kukuh dan wajar, namun Allah tetap menegurnya dengan menurunkan satu ayat daripada Surah An-Nur.
“Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan sebaliknya hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani” (Surah An-Nur 24:22)
Sikap tawaduk (rendah diri) umpama benih yang ditanam di dalam hati, manakala sikap pemaaf dan pemurah pula adalah buah yang terbit daripada benih itu tadi. Allah juga akan menambah kebaikan yang telah dibuat dengan menaikkan darjatnya dan menjadikan dia mulia bukan sahaja di dunia malah di akhirat.
Nabi SAW pernah bersabda,
وَإِنَّ اللَّهَ أَوْحَى إِلَىَّ أَنْ تَوَاضَعُوا حَتَّى لاَ يَفْخَرَ أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ وَلاَ يَبْغِى أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ
“Dan sesungguhnya Allah mewahyukan padaku untuk memiliki sifat tawadhu’. Janganlah seseorang menyombongkan diri (berbangga diri) dan melampaui batas pada yang lain.” (HR. Muslim, no. 2865)
Wallahua’lam.
No comments: