Ads Top

Ramlah Ram Elak Mengalirkan Air Mata Ketika Rakam Masar Cinta

Setelah lapan tahun tidak tampil dengan sebarang lagu, penyanyi Ramlah Ram kini tampil dengan single terbaharu berjudul Masar Cinta.

Ramlah berkata, Masar Cinta merupakan sebuah lagu yang cukup istimewa kerana ia dihasilkan oleh seorang yang cukup rapat dengan dirinya iaitu Allahyarham ID Mifzal.

“Saya akui proses rakaman lagu ini agak sukar kerana perlu mengawal perasaan. Seboleh-bolehnya saya cuba elak untuk mengalirkan air mata supaya rakaman berjalan lancar.

“Ketika itu saya berasa seperti arwah berada di sebelah. Saya agak sedih kerana tidak dapat merakamkan lagu berkenaan bersama-sama dengannya, apatah lagi hubungan kami sangat rapat,” ujarnya.

Penyanyi berkenaan berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pra-dengar lagu Masar Cinta yang berlangsung pada minggu lalu.

Menurutnya, biarpun mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkan single berkenaan, namun ia akhirnya berjaya direalisasikan demi memenuhi permintaan arwah.

“Proses untuk menyiapkan lagu ini memang mengambil masa yang agak lama kerana keadaan arwah yang sakit serta perlu berulang-alik ke hospital.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana telah memenuhi permintaan arwah dengan terhasilnya single ini. Selain itu, saya anggap Masar Cinta ini merupakan buah tangan untuk peminat,” ujarnya.

Merupakan sebuah lagu berunsur kerohanian, Masar Cinta boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Joox dan Deezer. – KopiPlanet.com

The post Ramlah Ram Elak Mengalirkan Air Mata Ketika Rakam Masar Cinta appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.