Ads Top

Adakah Kebaikan Sebelum Islam Juga Dicatat Sebagai Pahala Apabila Memeluk Islam

Apabila seseorang itu mengambil keputusan untuk kembali kepada agama Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah, maka dia adalah seperti seorang bayi yang baru lahir dan berada dalam keadaan fitrah.

Segala dosa yang dilakukannya sebelum Islam telah terhapus dan tidak dicatat. Seseorang itu akan masuk Islam dalam keadaan suci seperti bayi.

Namun, timbul persoalan berkenaan amalan kebaikan yang pernah dilakukan sebelum seseorang itu masuk Islam.

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Imran, 3:85)

Dalam persoalan ini, jumhur ulama seperti Ibn Battal, Imam Badr al-Din al-‘Aini dan al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menyebutkan bahawa, amalan dan kebaikan yang dilakukan sebelum Islam adalah dibawa sekali dan dicatat baginya pahala setelah memeluk Islam.

Hal ini adalah berdasarkan daripada beberapa dalil seperti sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hzam RA, katanya:

“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa pandangan tuan terhadap perbuatan-perbuatan baik yang aku lakukan sewaktu jahiliyyah seperti sedekah, membebaskan hamba atau menyambung silaturahim? Adakah padanya terdapat ganjaran pahala? Maka, Nabi menjawab: “Engkau telah masuk Islam beserta semua kebaikanmu yang dahulu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1436)

Menjawab persoalan ini juga, Imam Nawawi menegaskan berdasarkan pendapat ahli tahqiq dan ulama lain: “Adalah seorang kafir apabila dia melakukan perkara-perkara yang baik seperti bersedekah, menyambung silaturahim, kemudian dia masuk Islam dan kemudian mati dalam keadaan Islam, pahala tersebut dicatatkan baginya.” (Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj)

Tuntasnya, jika seseorang itu melakukan kebaikan walapun sebelum Islam, maka ia akan dicatatkan sebagai pahala dan kebajikan selepas memeluk Islam dan sehingga beliau mati dalam keadaan Islam.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.