Ads Top

Hukum Amalan Mencium Al-Quran Selepas Membacanya

Selalunya, kita akan melihat selepas membaca Al-Quran, seseorang itu akan mencium Al-Quran tersebut sebelum menyimpannya kembali ke atas rak. Kebiasaannya, ia akan dilakukan sebanyak tiga kali.

Menjadi persoalan di sini, apakah hukum sebenar bagi perbuatan mencium Al-Quran selepas membacanya? Hal ini kerana, menurut beberapa perbahasan daripada jumhur ulama, ia bukan sunnah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Justeru, ada beberapa pendapat yang mengatakan ia adalah bid’ah.

Bukan Al-Quran sahaja yang dicium. Jika dilihat pada kebanyakan ulama yang mempelajari kitab-kitab juga, kebanyakannya akan menciumnya sebagai tanda menghormatinya dan mengagungkannya.

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad RA bahawa perbuatan tersebut adalah tidak salah dan dibenarkan.

Walaupun tidak terdapat periwayatan berkenaan perlakuan Baginda yang mencium Al-Quran, namun Baginda sentiasa mengagungkan dan menjaga tulisan-tulisan Al-Quran itu dengan baik.

Walau bagaimanapun, setelah Al-Quran dibukukan pada zaman Khalifah Abu Bakar dan juga Uthman, terdapat beberapa orang sahabat yang mencium mushaf Al-Quran sebagai tanda menghormati dan menyanjungi kemuliaannya. Antaranya ialah Uthman RA dan juga Ikrimah bin Abu Jahal.

كَانَ يَأْخُذُ الْمُصْحَفَ كُلَّ غَدَاةٍ وَيُقَبِّلُهُ، وَيَقُول: عَهْدُ رَبِّي وَمَنْشُورُ رَبِّي عَزَّ وَجَل

Maksud: “Beliau (Uthman) mengambil Al-Quran setiap pagi (antara fajar hingga terbit matahari) lalu menciumnya sambil berkata: “Perjanjian tuhanku dan penyebaran tuhanku.” (Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)

Justeru, hukum asal mencium Al-Quran selepas membacanya adalah harus dan dibolehkan. Ia adalah perbuatan baik untuk memuliakan mushaf tersebut dan amalan ini juga diqiaskan (disamakan) kepada amalan mencium Hajarul Aswad.

Sunnah mencium Hajarul Aswad adalah kerana kemuliaannya sendiri. Para sahabat bahkan sehingga ke hari ini, manusia akan berbondong-bondong mencium Hajarul Aswad kerana ia adalah sebahagian daripada rukun yang perlu dilaksanakan sekali gus untuk tidak ketinggalan mendapatkan pahala sunnah (ikutan Baginda SAW).

Imam al-Suyuhti di dalam riwayatnya menyebut bahawa dibolehkan mencium Al-Quran dan ia dilakukan bagi memuliakannya kerana ia adalah kitab suci yang merupakan petunjuk kepada semua.

Maksud: “Disunatkan mencium mushaf kerana Ikrimah bin Abu Jahal juga pernah melakukannya. Dalam dalil lain, ia adalah diqiaskan dengan perbuatan mencium Hajarul Aswad sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian ulama. Ia juga kerana mushaf Al-Quran merupakan anugerah dari Allah SWT. Justeru, disyariatkan menciumnya seperti disunnahkan mencium anak kecil.” (Al-Itqan fi ‘Ulumil Quran)

Justeru, perbuatan mencium Al-Quran adalah tidak salah dan dibolehkan. Malah, jumhur ulama berpandangan harus mencium demi memuliakannya. Namun, jangan dilakukan kerana terlalu taksub dan menyebabkan lari akidah seperti beranggapan bahawa Al-Quran lebih berkuasa daripada Allah dan sebagainya.

Wallahu a’lam.

Sumber:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.