Ads Top

Perlukah Solatkan Jenazah Janin Yang Gugur

Perasaan ibu bapa yang kehilangan anak itu sukar diungkapkan. Jika seorang isteri kematian suami, mereka akan digelar sebagai balu. Jika suami yang kematian isteri, dia akan digelar sebagai duda. Jika seorang anak kematian ibu bapa, dia akan digelar sebagai yatim piatu.

Namun, jika seorang ibu kematian anak, tiada kata yang dapat menggambarkan situasinya kerana perasaan kematian seorang anak itu sukar diungkapkan. Rasa sedih yang membelenggu membuatkan seseorang itu akan mengambil masa yang agak lama menyembuhkan perasaan mereka.

Kata orang, sakit apabila mendengar perkhabaran kematian anak itu adalah lebih lagi berbanding dengan sakitnya melahirkan mereka.

Walau bagaimanapun, Allah tidak akan memutuskan hubungan mereka begitu sahaja. Walaupun mereka telah meninggal dunia, namun Allah menjanjikan bagi mereka pertemuan semula di dalam syurga buat mereka dan zuriatnya yang beriman.

Mafhum: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (Surah At-Thur 52:21)

Adapun, jika anak-anak yang meninggal sebelum baligh dan semasa bayi, mereka akan menjadi syafaat buat ibu bapanya di akhirat nanti.

Umum mengetahui, syafaat itu terbahagi kepada dua, iaitu syafaat khusus yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW dan yang kedua ialah syafaat umum. Ia diberikan kepada hamba-hambaNya yang soleh yang diperkenankan untuk memberi syafaat. Sebagai contohnya ialah syafaat dari anak-anak yang belum baligh kepada orang tuanya.

Bagaimana Menguruskan Janin

Adapun untuk kematian kanak-kanak, cara pemakaman dan menguruskan jenazahnya adalah sama. Walau bagaimanapun, bagaimana cara untuk menguruskan janin yang gugur atau bayi yang meninggal sebelum sempat dilahirkan?

Dalam isu ini, para ulama telah mengulasnya, iaitu:

#1 – Jika kandungan tersebut gugur (tumpah darah atau keluar ketulan), maka tidak perlu dimandikan, dikafankan mahupun disolatkan. Cukuplah ditutup seperti biasa.

#2 – Jika janin tersebut gugur dan sudah cukup sifat seperti ada tangan, kaki dan sebagainya, maka perlu dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Ia juga perlu dikebumikan dengan cara yang sama bayi dikebumikan. Selalunya, situasi ini adalah pada bayi yang berumur empat bulan ke atas.

Imam al-Khatib al-Syarbini menyebut dalam kitab al-Iqna’ bagi membicarakan isu mayat dan janin yang gugur menyebut:

“Janin yang gugur dalam keadaan tidak mengeluarkan suara, iaitu tidak diketahui tanda hidupnya dan tidak jelas rupa bentuknya (seperti manusia). Tidak boleh disolatkan ke atasnya dan tidak wajib memandikannya. Sunat pula menutupinya dengan kain dan mengebumikannya. Adapun jika diketahui hidupnya dengan suara atau selainnya atau jelas tanda-tanda kehidupannya seperti menggigil atau bergerak-gerak maka hukumnya seperti kanak-kanak besar. Maka wajiblah dimandikan dan dikafankan dan disolatkan ke atasnya dan dikebumikan kerana tanda hidup dan matinya telah wujud secara pasti.

Jika tidak diketahui hidupnya tetapi terzahir rupa bentuknya (sebagai manusia), wajib untuk mempersiapkan (iaitu dimandikan, dikafankan, dan dikebumikan) tanpa solat. Solat berbeza daripada selainnya kerana selainnya itu lebih luas medannya daripada solat. Ini juga berdasarkan dalil bahawa kafir dzimmi boleh dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tetapi tidak disolatkan ke atasnya.”

Justeru, tidak perlu menyolatkan janin yang gugur dalam bentuk ketulan dan belum cukup sifat. Namun, jika sudah cukup sifat, maka perlu menyolatkannya.

Sumber:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.