Ads Top

Mengapa Sunnah Tidak Membenarkan Tidur Meniarap

Antara salah satu adab Baginda SAW ketika tidur adalah dengan mengiring ke kanan dan tidak tidur dalam keadaan meniarap. Menurut beberapa kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar kesihatan – risiko untuk lemas sewaktu tidur dalam keadaan meniarap adalah tinggi berbanding dengan mereka yang tidur dalam keadaan biasa.

Posisi tidur adalah amat penting bagi membantu menjaga kesihatan kepada tubuh badan dan mendapatkan tenaga yang diperlukan untuk menyambung aktiviti harian.

Saintis telah membuktikan bahawa posisi tidur boleh memberikan kesan kepada kesihatan. Mereka mencadangkan dua posisi tidur yang baik untuk menjaga kesihatan tulang leher dan merehatkan badan, iaitu:

#1 – Mengiring ke kanan dengan meluruskan tulang belakang.

#2 – Menelentang dengan muka dan badan menghadap ke atas dengan menjaga bengkokan tulang belakang.

Kedua-dua cara ini didapati dapat mencegah tulang leher daripada terseliuh. Manakala, jika tidur secara meniarap akan menyebabkan serangan sakit urat saraf dan otot.

Menurut Dr Zafir Al-Attar – seseorang yang tidur secara meniarap (di atas perutnya) akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar. Ia juga boleh menghalang dada daripada merenggang dan mengecut ketika menghembus dan menarik nafas. Keadaan inilah yang boleh mengganggu jantung dan otak apabila oksigen tidak dapat berjalan dengan lancar.

Manakala, apabila seseorang itu tidur mengiring ke kiri, ia akan menyebabkan paru-paru kiri dihimpit oleh paru-paru kanan yang lebih besar. Ia akan menyebabkan kecergasan jantung menurun.

Bukan sahaja tidur orang dewasa yang perlu diutamakan, bahkan juga tidur kanak-kanak dan bayi. Menurut American Academy of Paediatrics, mereka mencadangkan posisi tidur terlentang sebagai tidur yang sihat untuk bayi dan bukan secara meniarap atau mengiring.

Menurut beberapa kajian yang telah dilakukan, kejadian kematian bayi secara mengejut telah berkurangan kepada 50% semenjak posisi tidur ini dicadangkan pada tahun 1992. Ia adalah untuk membantu penafasan bayi agar tidak lemas.

Rasulullah Menyuruh Dikejutkan Mereka Yang Tidur Meniarap

Jelas bahawa adab yang dianjurkan Islam ialah dengan tidur secara berbaring dan terdapat larangan bahawa manusia tidak boleh tidur secara meniarap. Menurut jumhur ulama seperti dari mazhab Syafi’e menyebut bahawa makruh hukumnya tidur dalam keadaan meniarap.

Daripada riwayat Ya’ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qasyi al-Ghifari RA, bahawa suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkannya dengan kaki lalu berkata:

إِنَّ هَذِهِ ضِجْعَةٌ يُبْغِضُهَا اللَّهُ. قَالَ فَنَظَرْتُ فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksud: “Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah.” Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu, aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW.” (Hadis Rwiayat Abu Daud, no. 5040)

Justeru, Imam Nawawi menyebutkan bahawa makruh hukumnya tidur secara meniarap. Ia adalah sama dengan hukum mereka yang tidur mengiring ke kiri.

Tuntasnya, mengikuti sunnah tidur boleh membawa kebaikan dari segi kesihatan dan untuk mengecas tenaga kepada tubuh badan dengan baik.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.