Ads Top

Malaikat Tunggu Di Pintu Masjid, Catat Mereka Yang Datang Awal Solat Jumaat

Jumaat datang lagi. Ia hari yang penuh kemuliaan dan disediakan ganjaran istimewa buat mereka yang mengambil manfaat darinya.

Imaginasi dangkal saya akan membayangkan hari Jumaat mempunyai hamburan warna yang berkilau dan berwarna-warni yang turun sepanjang hari. Namun, ganjaran pahala dan kebaikan yang tersedia di sebalik amalan-amalan dan waktu-waktu yang mustajab pada hari Jumaat sudah pasti lebih baik dan indah lagi.

Bagi golongan yang dituntut untuk menunaikan solat Jumaat pula, ada keistimewaan lain yang tersedia iaitu ganjaran bagi yang datang awal ke masjid untuk solat Jumaat.

Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”. (Riwayat al-Bukhari, no.881 dan Muslim, no.850)

Maksud Datang Awal Pada Masa Pertama

Para ilmuwan mempunyai beberapa pendapa berkaitan hal ini, antaranya:

1. Bermula Daripada Terbit Fajar

Menurut Kitab Muktamad dalam Mazhab Syafie, masa-masa yang dinyatakan dalam hadis di atas bermula daripada terbit Fajar. Pada masa ini juga seseorang boleh mandi sunat hari Jumaat sebelum ke masjid.

2. Tempoh Yang Singkat Selepas Tergelincir Matahari

Manakala ada pula yang berpendapat bahawa ia adalah tempoh-tempoh yang singkat selepas tergelincir matahari (matahari yang pada asalnya berada tegak di atas kepala telah condong ke arah barat), atau waktu mula masuk Zohor. Pendapat ini dipilih oleh Al-Qadhi Husain, Imam Al-Haramain dan juga dipegang dalam Mazhab Malik.

3. Siapa Yang Datang Dahulu Ke Masjid

Menurut penjelasan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan, berkaitan dengan tempoh masa pertama, kedua dan seterusnya bukan merujuk kepada masa-masa tertentu tetapi siapa yang datang dahulu ke masjid.

Imam Ibnu Hajar apabila mengulas hadis daripada Abu Hurairah mengatakan bahawa maksud datang awal ke solat Jumaat adalah dapat mengikuti khutbah daripada awal serta sempat untuk solat. Makruh hukumnya untuk datang lambat jika terdapat kelapangan waktu.

Malaikat pula akan berada di pintu-pintu masjid untuk mencatat siapa yang datang awal, kemudian akan berhenti apabila imam telah masuk untuk menyampaikan khutbah. Sesiapa yang hadir selepas itu tidak lagi memperolehi ganjaran orang yang hadir awal ke solat Jumaat.

Abu Hurairah R.anhu, Rasulullah SAW bersabda,

إذا كان يومُ الجمعةِ كان على كلِّ بابٍ من أبوابِ المسجدِ الملائكة يكتبون الأولَ فالأولَ، فإذا جلس الإمامُ طوَوُا الصحفَ وجاؤوا يستمعون الذكرَ.

“Apabila hari Jumaat tiba maka akan ada para malaikat di setiap pintu-pintu masjid. Mereka akan mencatat setiap orang yang datang dari yang pertama, lalu berikutnya dan berikutnya. Hingga ketika Imam telah naik di mimbarnya para malaikat pun menutup catatan-catatannya, lalu mereka ikut mendengarkan khutbah.” (HR. Bukhari 3211)

Rebutlah ganjaran yang disediakan dengan datang awal ke masjid, kerana seperti yang kita ketahui, ibadah korban adalah suatu ibadah yang agung dalam Islam. Ia menggambarkan kesanggupan seseorang mengorbankan hartanya demi mendapat redha Allah SWT. Ia akan datang semula di akhirat sebagai bukti iman seorang hamba.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.