Keadaan Yang Dibenarkan ‘Mufaraqah’ Daripada Imam
Mufaraqah daripada segi bahasa ialah berpisah atau meninggalkan. Manakala mufaraqah dalam solat jemaah ialah tindakan makmum yang berpisah daripada imam.
Tindakan mufaraqah atau berpisah dari imam boleh dibahagikan kepada lima hukum antaranya:
Wajib – Apabila melihat imam melakukan perkara yang membatalkan solat.
Sunat – Apabila melihat imam tertinggal perkara sunat dalam solat seperti qunut dan tasyahud awal.
Harus – Apabila imam terlalu memanjangkan bacaan.
Makruh – Makruh berpisah daripada imam tanpa ada keuzuran kerana meninggalkan fadilat (kelebihan) solat jemaah yang lebih banyak.
Haram – Haram berpisah daripada imam jika perbuatan tersebut menyebabkan syiar Islam tidak menyerlah contohnya dalam solat Jumaat.
Cara Berpisah (Mufaraqah) Daripada Imam
Tiada lafaz niat yang khusus untuk berpisah daripada imam. Makmum boleh sahaja berniat dalam hati untuk berpisah daripada imam. Contoh:
“Aku berpisah/mufaraqah daripada imam”
Kebiasaannya, tindakan berpisah daripada imam ini diambil apabila imam melakukan kesalahan yang besar dalam solat yang melibatkan rukun seperti tertinggal atau terlebih bilangan rakaat solat.
Walau bagaimanapun, terlebih dahulu jemaah yang berada berdekatan dengan imam perlu menegur dengan menyebut Subhanallah (bagi imam lelaki) dan menepuk belakang tangan sendiri supaya didengari oleh imam (bagi imam perempuan).
“Sekiranya imam lupa pada perbuatan (solat), lalu meninggalkannya, atau ingin mengubahnya, maka mustahab (sunat) bagi makmum untuk bertasbih untuk memaklumkan imam.” (Rujuk al-Mu`tamad, 453-454)
Jika imam menyedarinya lalu mengerjakan rukun yang tertinggal, maka makmum wajib mengikutnya. Jika imam masih melakukan kesalahan tersebut barulah makmum diwajibkan berpisah daripada imam.
Manakala dalam hal sunat, ada beberapa keadaan yang perlu difahami.
Pertama, jika imam dan makmum tertinggal perbuatan sunat dan telah bergerak melakukan rukun seterusnya (contoh: telah sujud dan tidak membaca Qunut), maka tidak perlu lagi kembali melakukannya.
Kedua, jika imam dan makmum tertinggal perbuatan sunat dan teringat sebelum melakukan rukun seterusnya maka boleh mengulangi perbuatan sunat semula.
Wallahua’lam.
Baca juga:
Bagaimana Jika Tertinggal Perkara Sunat Dalam Solat
No comments: