Ads Top

Hukum Memandulkan Kucing

Kucing adalah haiwan yang senang berkembang-biak. Buktinya, kita dapat melihat ia di mana-mana, sama ada yang dipelihara sebagai haiwan peliharaan atau yang berkeliaran di tempat-tempat awam contohnya di tepi jalan, di kaki lima dan di kedai-kedai makan.

Ada juga yang memilih untuk membuang kucing-kucing peliharaan yang semakin beranak-pinak kerana tidak mampu menjaga dalam kuantiti yang terlalu banyak.

Kadang-kala kerana kucing-kucing ini tidak dijaga, ada yang cedera dipukul dan ada yang dilanggar oleh kenderaan. Timbul persoalan, bolehkah kucing-kucing dimandulkan bagi mengelakkan lebih banyak kucing terbiar dan membiak.

Secara asasnya hukum memandulkan haiwan yang tidak dimakan adalah haram dalam Mazhab Syafie namun jika terdapat keperluan maka ianya dibolehkan.

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata:

“Adapun memandulkan haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahah, akan tetapi mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut” (Liqa al-Bab al-Maftuh, 15/37)

Manakala pandangan mengikut mazhab pula adalah seperti berikut:

1. Mazhab Hanafi – tidak mengapa memandulkan haiwan, kerana ada padanya manfaat kepada binatang dan juga manusia.

2. Mazhab Malik – Harus memandulkan haiwan yang dimakan dagingnya tanpa ada hukum makruh, untuk daging yang lebih baik.

3. Mazhab Syafie – Harus memandulkan haiwan yang dimakan dagingnya ketika kecil dan diharamkan bagi haiwan yang tidak dimakan dagingnya.

4. Mazhab Hanbali – Harus memandulkan kambing untuk mengelokkan dagingnya.
Dikatakan makruh memandulkan kuda dan haiwan lain.

*Manakala Imam Ahmad memakruhkan terhadap mana-mana binatang kerana ia menyakitkannya.

Manakala Fatwa Islamiyah menetapkan bahawa jika kucing itu banyak dan menyusahkan, dan proses memandulkannya tidak memudaratkan maka tidak mengapa. Ini kerana langkah yang diambil untuk memandulkan itu lebih baik daripada membunuh selepas ia telah dilahirkan.

Kesimpulannya, tidak mengapa memandulkan haiwan jika untuk mengelakkannya semakin membiak dan terbiar tidak dijaga malah dipukul dan diseksa. Wallahua’lam.




No comments:

Powered by Blogger.