Ads Top

4 Bulan ‘Puasa’ Dari Media Sosial, Faizal Tahir Rasa Tenang

Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir menyarankan agar semua pihak berhenti dan berehat seketika daripada media sosial kerana ia dapat memberikan ketenangan luar biasa buat sesiapa yang melakukannya.

Bercakap daripada pengalaman, Faizal, 42, berkata sepanjang empat bulan tanpa media sosial, dia mengakui dirinya berasa lebih tenang.

“Perasaan saya dalam tempoh empat bulan tidak menggunakan medi sosial itu, hati jadi lebih tenang. Ia rasanya seperti kita sudah lama tak mandi dan tiba-tiba dapat mandi. Begitulah nikmat yang saya dapat rasa dan ia merupakan satu pengalaman terbaik buat saya.

“Saya nasihatkan supaya orang ramai berhenti seketika daripada media sosial kerana ia sangat ‘menyucikan’ diri kita. Saya yakin, setiap orang akan terus melihat telefon bimbit setiap kali bangun tidur dan begitu juga saya.

“Tapi, sepanjang empat bulan itu, saya bangun solat Subuh sahaja dan sekarang pun, selepas anak-anak ke sekolah, baharulah saya pegang telefon,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran Joox Originals yang berlangsung di Nicsman, The Starling Mall, Damansara Utama, semalam.

Walaupun begitu, Faizal tidak menafikan kepentingan media sosial bagi menyampaikan sesuatu maklumat dan informasi kepada semua pihak namun biarlah ia digunakan secara bersederhana.

“Ada batas yang perlu kita letakkan. Kalau dulu, saya akan meluangkan masa di media sosial lebih kurang tiga ke empat jam sehari.

“Sekarang, saya sudah mula aktif semula dan mulakan dengan perkongsian mengenai aktiviti program kemanusiaan di Syria dan sebagainya.

“Kalau nak berehat pun ada had juga sebab ada benda yang kita nak tahu dan beritahu kepada orang dengan menggunakan medium media sosial,” ujarnya lagi.

Sementara itu, bercakap mengenai kolaborasinya dengan Joox Originals sebagai Super Producer, Faizal telah bekerjasama dengan beberapa komposer serta penyanyi tempatan untuk menghasilkan 10 karya lagu baharu.

Untuk peringkat pertama, tiga artis iaitu Dayang Nurfaizah, Sophia Liana dan kumpulan duo baharu, FML telah dipilih bagi menjayakan kerjasama tersebut. Ketiga-tiga mereka hadir dengan lagu baharu berjudul Gerak Dulu yang dinyanyikan oleh Dayang, Ngam (Sophia Liana) dan Sinar (FML).

Kesemua lagu yang diterbitkan di bawah projek Joox Originals bersama Faizal Tahir dapat didengar secara eksklusif menerusi aplikasi penstriman muzik Joox sahaja. – KopiPlanet.com

The post 4 Bulan ‘Puasa’ Dari Media Sosial, Faizal Tahir Rasa Tenang appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.