Ads Top

Hukum Memakai Face Mask Ketika Solat

Ekoran daripada penularan wabak Coronavirus COVID-19, orang ramai telah dinasihatkan agar sentiasa memakai topeng muka (face mask) apabila berada di tempat ramai orang, contohnya di dalam kenderaan awam, dan di pasaraya bagi mencegah diri daripada dijangkiti.

Kami melihat bahawa saranan ini juga tidak terkecuali bagi Muslim yang menunaikan solat secara berjemaah di tempat yang ramai orang seperti masjid atau surau-surau yang terdapat di pasaraya atau stesen LRT.

Walau bagaimanapun, adakah boleh memakai topeng muka ketika solat?

Adakah hidung termasuk dalam anggota sujud?

Antara syarat sah sujud adalah dengan menyentuhkan tujuh anggota badan ke tempat sujud (sejadah) iaitu dahi, dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki.

Manakala hidung pula adalah bahagian yang diperselisihkan sama ada ia wajib atau tidak.

Ada riwayat daripada Rasulullah SAW yang turut menyebutkan hidung termasuk dalam anggota sujud, dan ada pula hadis yang menyebutkan sebaliknya.

Menurut riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّبِيُّ صلّى الله عليه وسلم أَنْ يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضَاءٍ، وَلاَ يَكُفَّ شَعَرًا وَلاَ ثَوْبًا: الجَبْهَةِ، وَاليَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَالرِّجْلَيْنِ

Maksud: “Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan sujud dengan tujuh anggota, serta tidak menahan rambut dan tidak juga pakaian (tahan daripada sujud): Dahi, dua tangan, dua lutut, dan dua kaki.” (Riwayat al-Bukhari, no.809)

Dalam erti kata lain, tidak boleh ada penghalang seperti kain atau pakaian antara anggota-anggota ini dan juga tempat sujud.

Syeikh Al-Mubarakfuri dalam penerangannya ada menyebutkan bahawa, jumhur mengatakan bahawa wajib sujud dengan dahi tanpa disekalikan dengan hidung. (Lihat Tuhfat Al-Ahwadzi, 2/125)

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan pula menyimpulkan bahawa hidung adalah anggota sunat sahaja dan yang perlu disentuh adalah bahagian dahi. Jadi, solat masih sah walaupun hidung tidak menyentuh sejadah ketika sujud. Pendapat ini juga adalah pendapat yang dipegang dalam Mazhab Syafie.

Justeru, dibolehkan seseorang itu memakai face mask kerana bahagian yang ditutup hanyalah hidung dan mulut sahaja sedangkan bahagian dahi masih terbuka. Ia juga adalah langkah berjaga-jaga yang perlu diambil apabila solat di tempat yang ramai orang bagi melindungi diri daripada jangkitan penyakit.




No comments:

Powered by Blogger.