Ads Top

Hukum Asal Meniup Makanan Panas

Manusia bernafas menghirup oksigen atau elemen kimianya dikenali sebagai O2 dan akan menghembuskan karbon dioksida, iaitu CO2. Jadi, apabila seseorang itu meniup makanan, gas yang dikeluarkan adalah gas CO2.

Tahukah anda, makanan yang masih panas pula akan mengeluarkan wap air, iaitu H2O. Menurut reaksi kimia, wap air yang bertindak balas dengan karbon dioksida pula akan membentuk asid karbonat.

Jadi, apabila kita meniup makanan yang panas, karbon dioksida dari mulut akan bercampur dengan wap air daripada makanan.

Ia sekali gus akan menghasilkan asid karbonik yang akan mempengaruhi tahap keasidan dalam darah sehingga menyebabkan tingkat darah dalam badan seseorang itu akan menjadi lebih berasid daripada sepatutnya. Hal ini yang akan menyebabkan kandungan pH dalam darah menurun atau lebih dikenali sebagai asidosis.

Dalam Islam, terdapat beberapa buah riwayat yang sahih berkenaan larangan untuk meniup makanan atau minuman ketika panas. Antaranya ialah daripada riwayat oleh Abi Qatadah RA:

أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الإِنَاءِ أَوْ يُنْفَخَ فِيهِ

Maksud: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang bernafas di dalam gelas atau meniup isi gelas.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, no. 1888)

Menurut pandangan jumhur ulama ketika mensyarahkan hadis ini menyebut bahawa, larangan yang dikenakan adalah termasuk sebagai adab dan menunjukkan penekanan kepada beberapa perkara seperti kebersihan dan untuk mengelakkan daripada kekotoran yang jatuh daripada mulut atau hidung.

Antara adab makan yang dianjurkan ialah tidak makan sewaktu makanan tersebut masih terlalu panas kerana keberkatan daripada makanan tersebut boleh hilang.

Hukum asal meniup makanan yang panas adalah harus jika tiupan yang dilakukan itu adalah sederhana dan tidak sehingga mengotorkan makanan.

Hal ini dijelaskan lagi bahawa, seseorang itu boleh meniup makanan jika ada keperluan. Sebagai contoh, jika seorang ibu yang ingin menyuapkan anak kecilnya yang sedang sakit dengan bubur, maka adalah tidak mengapa asalkan ia dilakukan dengan berhemah dan sehingga tidak mengotorkan makanan.

Larangan meniup dan bernafas di dalam bekas makanan dan minuman secara gelojoh bukanlah membawa kepada hukum haram, tetapi hanya makruh. Hal ini kerana bimbang jika air liur dan bau nafas itu boleh mengotori makanan.

Tuntasnya, boleh meniup makanan atau minuman yang panas asalkan ia dilakukan dengan berhemah. Bersabarlah sejenak dan tunggu sehingga makanan tersebut kurang panasnya. Ia juga adalah untuk mengajar seseorang dengan sifat sabar dan tidak terlalu gelojoh.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.