Ads Top

Doa Yang Dapat Menghadirkan Tawakkal

Al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan khusus kepada Nabi Muhammad SAW dan umumnya kepada seluruh umat manusia. Padanya ada penawar, penyembuh dan kata-kata yang dapat menenangkan. Daripadanya juga kita boleh mendapatkan kekuatan dengan membaca dan meneliti setiap butir bicara Allah.

Banyak sebenarnya amalan zikir dan doa yang dapat dikutip daripada Al-Quran, sama ada yang pernah menjadi amalan doa para nabi dan rasul mahupun ayat Al-Quran secara umum.

Berikut adalah ayat yang pernah dibaca oleh Nabi Yaakub ketika berduka kerana kehilangan Nabi Yusuf.

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّـهِ

“…Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah…”(Surah Yusuf 12:86)

Rasa sedih dan kecewa akan sentiasa hadir dibalut dengan ujian dan dugaan. Ada orang yang memperlakukan kesedihan dengan membenamnya dalam-dalam di dalam jiwa sehingga tidak tampak lagi oleh kasat mata. Dia mematikan rasa supaya tidak berasa sedih.

Ada orang yang melampiaskannya dengan mencerca Allah yang menghadirkan ujian tersebut atau menyalahkan keadaan yang tidak memihak kepada dirinya. Kedua-dua cara ini akhirnya dapat memberi kesan buruk pada diri khususnya emosi dalam jangka masa panjang.

Ada juga yang mampu mengurusnya dengan baik. Bukan dia tidak sedih atau tidak terkesan dengan ujian menimpa, namun dia mengetahui hakikat ujian tersebut datangnya daripada Allah. Dia mengakui bahawa apa yang terjadi mendatangkan rasa sedih namun dalam masa sama memahami – fungsi ujian sudah pasti untuk menguji iman.

Kerana itu, Nabi Yaakub mengakui rasa sedih yang dialami dengan berkata, “Aku mengadukan kesusahan dan rasa dukacitaku kepada Allah”

Lihat betapa besar rasa tawakkal dan pengharapan yang ada pada Nabi Yaakub. Baginda tahu tidak ada yang benar-benar mampu memahami kedukaan yang dirasainya selain Allah sahaja.

Ramai yang mengadu bahawa tidak ada yang benar-benar memahami dirinya yang sudah sekian lama menempuh ujian hidup. Memang tidak ada yang dapat menyelami rasa hati kita, kerana orang sekeliling hanya dapat membantu apa yang mampu. Namun yakinlah bahawa ada yang benar-benar tahu. Tidak lain tidak bukan adalah Allah SWT.

Mari kita teliti pula kata-kata Nabi Musa AS ketika berhadapan dengan kaumnya.

وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ

“…aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya” (Surah Ghafir 40:44)

Kerana beriman bahawa Allah adalah ‘Al-Basir’ iaitu Yang Maha Melihat segala urusan diri, maka ia membuahkan kekuatan yang teguh dalam hati. Tidak ada kebimbangan di hati seorang Mukmin yang sudah menyerahkan segenap urusannya kepada Allah. Rasa tawakkal hidup di hati setiap masa.




No comments:

Powered by Blogger.