Ads Top

“Bukan Provok, Tapi Sama-Sama Cari Makan” – Lan Kristal X

Penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 35, berkata penubuhan band Kristal X yang dianggotainya bersama ahli asal kumpulan Kristal iaitu Ainul dan Ezal bukanlah satu langkah untuk memprovokasi bekas kumpulannya terdahulu, Kristal.

Menurut Lan, dia berbuat demikian untuk berkongsi rezeki bersama rakan-rakannya yang lain selain kembali demi memenuhi permintaan peminat.

Kristal X dianggotai tiga ahli asal Kristal iaitu Lan selaku vokalis, Ainul (drummer), Ezal (bassist) serta seorang anggota baharu, Napie selaku gitaris.

“Saya tiada niat untuk provok (kumpulan Kristal), cuma ini rezeki masing-masing. Saya dah berbincang untuk ‘throwback’ dengan ‘line up’ asal Kristal iaitu Ainul dan Ezal.

“Tentang pemilihan nama Kristal X memang saya sayangkan nama Kristal itu jadi tertubuhlah Kristal X yang mana menggambarkan bekas-bekas ahli kumpulan asal Kristal yang bergabung semula demi memenuhi permintaan peminat yang mahu melihat kami kembali.

“Saya akui masih sayang Kristal dan tiada masalah sekiranya nak bekerjasama cuma buat masa sekarang saya tak boleh nak bekerjasama dengan anggota dalam Kristal.

“Bagi saya persaingan itu perlu ada, kalau tak ada kita tidak akan maju. Cuma ia ikut kreativiti serta cara masing-masing bagaimana untuk mengambil hati peminat menerusi karya-karya yang dihasilkan,” kata Lan kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran single Seragam Hitam Versi 2020 yang berlangsung di Red Box The Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam.

Seragam Hitam Versi 2020 dirakamkan semula Kristal X sempena ulang tahun ke-20 penerbitan lagu tersebut yang dicipta oleh Datuk M.Nasir dan Allahyarham Loloq.

Menurut Lan lagi, penubuhan Kristal X tidak akan menghalang mana-mana anggotanya daripada berkarya dengan projek lain.

“Saya dengan rakan dalam Kristal X bersepakat tidak akan mengikat diri kami dengan band ini saja. Kita perlu jadi realistik kerana dalam kehidupan sekarang, nak cari rezeki perlu melakukan banyak kerja. Cumanya, Kristal X akan menjadi keutamaan dahulu sebelum kami terlibat dalam kerja-kerja yang lain,” katanya.

Sebelum ini Lan meninggalkan kumpulan Kristal pada hujung tahun 2017 dan memulakan karier seni sendiri dengan menggunakan nama Lan Solo.

Video muzik Seragam Hitam Versi 2020 yang telah dilancarkan semalam juga boleh ditonton secara rasmi menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.