Ads Top

Sunnah Posisi Duduk Semasa Tahiyat Awal Dan Akhir

Terdapat dua jenis cara duduk di dalam solat ketika tahiyat awal dan akhir. Posisi duduk semasa tahiyat awal adalah sama dengan duduk antara dua sujud.

Duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir merupakan rukun di dalam solat yang wajib dilaksanakan bagi yang mampu. Adapun, jika tidak mampu, solat perlu dilakukan mengikut keringanan yang telah diberikan.

Sunnah posisi duduk semasa tahiyat awal dan akhir adalah berbeza. Untuk posisi semasa tahiyat awal, ia digelar sebagai iftirash. Manakala, kedudukan pada tahiyat akhir pula digelar sebagai tawarruk.

Iftirash membawa maksud seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.

Tawarruk pula membawa maksud duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala, kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah.

Menurut pendapat yang telah dinukilkan oleh para ulama dari kalangan Syafieyyah menjelaskan bahawa cara kedudukan mengikut kemampuan adalah dianggap sah. Walau bagaimanapun, duduk semasa tahiyat akhir adalah disunnahkan secara tawarruk.

Ia adalah berdasarkan apa yang dikatakan oleh Imam Al-Nawawi RA yang bermaksud:

“Bahkan, apa cara duduk yang mampu dilakukan adalah sah, sama ada secara tawaruk mahupun iftirash. Tetapi yang menepati sunnah adalah dengan duduk tawarruk pada akhir solat dan duduk iftirash pada selainnya.” (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab Al-Nawawi, 1/429)

Kadang-kadang, apabila kita menunaikan solat berjemaah atau di ruangan yang sempit, kebiasaannya seseorang itu akan mengalami situasi di mana dia tidak dapat melaksanakan duduk secara tawaruk itu dengan sempurna.

Hal ini boleh terjadi disebabkan ruang yang sempit dan boleh menyebabkan jemaah di sebelahnya terduduk di atas kakinya. Dalam hal ini, anda boleh duduk secara iftirash semasa tahiyat akhir bagi memberi ruang kepada jemaah lain.

Menurut jumhur ulama, keadaan ini tidak menimbulkan dosa atau jatuh hukum tidak sah solat kerana perbuatan duduk secara tawarruk dalam tahiyat akhir itu adalah sunnah. Oleh itu, peka dengan keadaan sekeliling dan mudahkan urusan orang lain juga dalam beribadah.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.