Ads Top

Bolehkah Solat Jemaah Dengan Imam Yang Berlainan Mazhab

Mazhab berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud jalan atau cara berfikir. Ia membawa kepada ajaran atau cara berfikir yang telah diterima sebagai satu kaedah dalam menilai pelbagai perkara terutamanya hukum hakam dan fikh.

Mazhab yang terkenal dan sering disebut-sebut ialah Mazhab Maliki, Hanbali, Hanafi dan Syafi’e. Namun, tahukah anda bahawa sebenarnya bibit pertumbuhan mazhab telah bermula sejak dari zaman Baginda SAW lagi? Bilangan mereka adalah ramai berbanding dengan apa yang kita ketahui hari ini.

Mereka mula wujud kerana mempunyai perbezaan pendapat dan tafsiran yang berbeza mengenai hukum dan fikh Islam. Namun, keempat-empat mazhab ini sahaja yang paling relevan dan para pengikutnya masih ada sehingga ke hari ini.

Perbezaan-perbezaan yang wujud antara mazhab ini hanyalah melibatkan perkara kecil seperti hal-hal cabang sahaja dan bukanlah perbezaan yang melibatkan perkara besar seperti aqidah, tauhid mahupun prinsip-prinsip dasar agama.

Dalam hal ini, adakah dibolehkan untuk seseorang yang memegang mazhab yang berbeza menunaikan solat jemaah dengan imam yang berbeza juga mazhabnya?

Imam Syafi’e pernah bersolat mengimamkan jemaah yang memegang mazhab yang berlainan. Pada suatu ketika, beliau tidak membacakan qunut pada solat Subuh sedangkan dalam mazhabnya, qunut pada Subuh itu adalah sunnah yang perlu dibaca. Jika dilupakan, perlu melakukan sujud Sahwi bagi menggantikannya.

Namun, beliau meninggalkannya pada waktu itu bagi menjaga kemuliaan dan meletakkan rasa hormat kepada ilmu dan pemikiran ulama lain yang sedang didiaminya (yang berada di kalangannya) kerana pada waktu itu hanya beliau yang memegang mazhab yang berbeza, manakala majoritinya adalah mazhab lain. (Al-Fath Al-Barr)

Menurut jumhur ulama, dibolehkan untuk seseorang itu bersolat di belakang imam yang memegang mazhab yang berlainan. Solatnya dikira sah. Dalam situasi ini juga, makmum tersebut perlu mengikut pergerakan solat yang dilakukan imam.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya, seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca ‘Sami’Allahu li man Hamidah’ maka katalah ‘Rabbana wa lak al-Hamd.’ Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 734)

Jika solat tersebut dilakukan pada waktu Subuh dan anda ragu-ragu untuk membaca qunut atau tidak sedangkan imam tidak membacanya, Imam Syams al-Din al-Ramli ada menyebut mengenai isu ini di dalam kitabnya;

“Sekiranya seorang yang bermazhab Syafi’e mengikut imam bermazhab Hanafi dalam solat Subuh, sekiranya dia berqunut dan dia sempat untuk sujud bersama imam pada sujud pertama, maka dia boleh melakukannya, jika tidak sempat, maka dia tidak boleh melakukan qunut tersebut dan dia mestilah sujud sahwi selepas imam memberi salam sebagaimana pandangan muktamad kerana berdasarkan iktiqadnya bahawa imam terlupa.

Berbeza pula sekiranya dia memberitahu imam bahawa iktiqad makmum adalah berqunut tetapi imam tetap tidak berqunut, maka ia tidak menjadi sebab untuk sujud sahwi kerana qunut tersebut bukan ditinggalkan disebabkan terlupa. Maksudnya, tidak dituntut bagi makmum untuk sujud sahwi disebabkan imam tersebut meninggalkan qunut dan dia tidak memintanya daripada imam, bahkan dilarang baginya untuk sujud.” (Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 2/68)

Tuntasnya, apabila seorang makmum mengikut imam yang berlainan mazhab dalam solat jemaah, dia perlu mengikut imam tersebut dan meyakini bahawa solatnya adalah sah. Ia sendiri adalah untuk menghormati imam dan perbezaan pandangan yang diberikan ulama sendiri.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.