Bolehkah Membaca Qunut Nazilah Dalam Menghadapi Musibah COVID-19
Nazilah bermaksud musibah yang sangat berat. Ia adalah sunat dibacakan ketika terjadinya musibah atau bencana. Sering kita dengar, apabila terjadinya musibah-musibah yang melanda sesebuah tempat, orang Islam akan mengambil inisiatif untuk berdoa kepada Allah melalui qunut ini.
Qunut ini mula dilakukan ketika terjadinya musibah terhadap beberapa orang sahabat Rasulullah SAW yang dibunuh dalam bulan Safar. Ia dikenali sebagai tragedi Ar-Raji.
Apabila Baginda SAW mendengar perkhabaran tersebut, Baginda telah memulakan bacaan qunut selama satu bulan dalam solat fardu bagi mendoakan keburukan terhadap para pembunuh sahabat-sahabat tersebut.
Selepas itu, qunut tersebut sudah tidak dibaca lagi kecuali hanya dalam waktu fardu Subuh. Namun, apabila terdapat bencana atau musibah besar yang melanda, Baginda mahupun para sahabat lain akan membacanya.
Maksud: “Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka, Baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qura’ (penghafaz Al-Quran). Maka, mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada waktu siang dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam.
Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, Baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat Subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak Arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 4090)
Bolehkah Dibaca Ketika Musibah COVID-19
Adapun, hari ini dunia dikejutkan dengan musibah yang begitu berat, iaitu COVID-19. Virus yang melanda ini cukup membimbangkan semua pihak apabila melihat angka kematian mencanak naik dari hari ke hari.
Di Malaysia, jumlah keseluruhan kes yang telah dilaporkan adalah sebanyak 2161 orang dan telah meragut nyawa 26 mangsa (setakat 27 Mac). Hal ini cukup membimbangkan.
Pelbagai inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan untuk menangani kes ini terutamanya dengan mengarahkan semua orang untuk mengikut arahan Kawalan Pergerakan. Dalam masa yang sama, umat Islam juga disaran memperbanyakkan doa kepada Allah dan diseru menunaikan solat sunat Hajat.
Justeru, dalam usaha kita untuk berdoa, adakah dibolehkan seseorang itu melaksanakan qunut nazilah dalam solat yang dilakukan?
Menurut perbahasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah , dibolehkan untuk membaca qunut ini dalam solat-solat fardu, bahkan dituntut.
Imam ibn Hajar Al-Haitami menyebut – “Sama ada nazilah (kejadian yang berlaku) itu bersifat umum ataupun perkara khusus yang melibatkan masyarakat umum yang mana kemudaratannya akan melibatkan umat Islam seperti wabak dan juga taun, demikian juga hujan lebat yang memudaratkan.” (Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami, 2/68)
Tatacara Dan Doa Yang Boleh Diikuti
Antara tatacara yang boleh diambil perhatian ialah:
#1 – Qunut ini hanya dilakukan dalam solat fardu sahaja dan tidak dilakukan dalam solat sunat. Ia boleh dilakukan pada setiap solat fardu atau pada solat yang dirasakan sesuai buat anda.
#2 – Ia boleh dibaca secara berjemaah dan bacaan hendaklah dikuatkan agar makmum boleh mengaminkannya. Ia juga boleh dibaca ketika solat bersendirian dan dengan itu bacaan perlu diperlahankan.
#3 – Ia hendaklah dibaca pada rakaat solat yang terakhir semasa iktidal, iaitu selepas bangkit daripada rukuk.
#4 – Disunatkan mengangkat kedua telapak tangan ketika berdoa dan tidak menyapu tangan ke muka selepas berdoa. Boleh terus sujud.
#5 – Ia bukan termasuk dalam sunat ab’adh. Jadi, tidak perlu melakukan sujud sahwi jika tertinggal membaca qunut nazilah.
#6 – Doa yang boleh dibaca:
اللَّهُمَّ اهْدِنا فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنا فِيمَنْ عَافَيْتَ وَتَوَلَّنا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لنا فِيمَا أَعْطَيْتَ وقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ إِنَّكَ تَقْضِي وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
اللهم إلَيكَ نَشْكُو وَإيَّاكَ نَرْجُو أَنْ تَدْفَعَ عَنَّا الْبَلَاء والوَبَاء والفِتَنَ والمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بطَن يا أرحم الراحمين ويا مُجِيبَ السَّائلِين
اللهم إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ وَالجُنُونِ والْجُزَامِ وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَام
وصَلَّى اللهُ وسلَّم علَى نَبيِّنا محمَّدٍ وعَلى آله وصَحْبِهِ أجمعين
Kesimpulan
Tuntasnya dapatlah kita faham bahawa qunut nazilah itu pernah dilakukan oleh Baginda SAW ketika terjadinya musibah-musibah yang sungguh berat.
Oleh itu, apabila kita menjadikannya sebagai amalan dalam usaha kita berdoa kepadanya agar musibah yang sedang melanda ini segera berakhir, kita bukan sahaja diganjari pahala kebaikan, bahkan pahala kerana mengamalkan sunnah.
Justeru, ayuhlah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar musibah ini segera berakhir dan diangkat dari dunia ini.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Mufti Wilayah
No comments: