Ads Top

Bagaimana Memberitahu Anak-Anak Tentang Krisis Wabak Yang Terjadi

Sejak pengerusi World Health Organization (WHO) iaitu Tedros Adhanom mengumumkan penyakit Coronavirus jenis Covid-19 sebagai wabak pandemik pada 11 Mac 2020 yang lepas, hampir seluruh dunia menyahut pengumuman itu dengan pengisytiharan darurat dan ‘lockdown’ di pelbagai negara sama ada di Eropah dan Asia barat.

Malaysia sendiri juga sudah mengumumkan kawalan pergerakan selama dua minggu manakala di negara jiran seperti Jakarta sudah diumumkan darurat.

Apabila negara seluruh dunia kebanyakannya mengumumkan darurat, bermakna penyakit ini sudah pun menular ke serata tempat hingga mengakibatkan kita semua perlu berisolasi di kediaman masing-masing serta menghadkan segala aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal seperti bermain di taman, meluangkan masa di taman rekreasi bersama keluarga atau rakan-rakan, bersosial berkumpulan, membuat festival adat dan budaya atau apa-apa sahaja bentuk aktiviti sosial yang perlu wujudkan kontak rapat.

Kerana sifat virus ini yang mudah tersebar melalui sentuhan, dan (droplet) iaitu berjuta cecair yang terhembus ketika batuk atau bersin yang boleh pergi sejauh satu atau dua meter.

Kemudian virus yang bernama Covid-19 pula kadangkala tidak menunjukkan sebarang gejala selama dua minggu. Ia berbeza-beza keadaannya mengikut kekuatan imunasi seseorang. Jika imunasi seseorang itu kuat, mungkin dia tidak bergejala tetapi badannya tetap menjadi tempat tumpangan virus tersebut untuk hidup dan bermutasi kemudian mengembangkan generasinya ke host (perumah) tubuh manusia lain.

Maka disebabkan itulah pemerintah negara kita telah berpendirian untuk menetapkan tempoh kawalan pergerakan seluruh negara selama dua minggu bagi memutuskan jaringan kontak sosial yang boleh melumpuhkan perkembangan virus ini dari terus menyakiti tubuh manusia secara lebih meluas.

Lalu semenjak hari pertama berjalannya proses kawalan pergerakan ini bagaimanakah seorang ibu atau ayah hendak memberitahu kepada anak-anaknya tentang situasi yang sedang berlaku?

Hal ini Kerana virus ini telah mengubah 360 darjah jadual rutin kita dari yang biasa kepada luar kebiasaan. Jika kita sebagai ibu bapa gagal menenangkan anak-anak, nescaya hubungan dalam rumah akan menjadi kelam kabut dan tekanan inilah yang menyebabkan ramai yang degil lalu keluar dari rumah untuk meneruskan aktiviti seperti tiada apa yang berlaku.

Allah SWT berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.” (Surah Al-Tahrim 66:6)

Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar.

Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. (Lihat Tafsir al-Wasith, 476/14)

Sebagai ibu bapa sewajarnya kita perlu tahu teknik komunikasi yang berkesan dalam memberitahu kepada anak-anak akan situasi yang perlu dilalui dengan tenang dan sabar. Berikut adalah beberapa cadangan daripada pakar psikologi dalam berkomunikasi dengan anak-anak :

#1- Tenangkan Diri Sendiri Terlebih Dahulu

Sebelum memulakan apa-apa bicara mengenai tajuk wabak ini pada anak kita, kita dahulu yang patut berlatih untuk tenangkan diri dan jangan gopoh mengenainya.

Apatah lagi kebanyakan orang bila mendengar berita kawalan pergerakan, ada yang gopoh membuat pembelian panik, ini akan merunsingkan lagi jiwa anak-anak dan membuatkan mereka lebih rasa tidak yakin dengan keadaan sekarang. Bahkan lebih merunsingkan sekiranya anak kita itu mudah diserang gejala kebimbangan melampau.

Anak-anak selalunya akan menjadikan ibu bapanya contoh tauladan yang pertama dalam hidup. Sebagai ikon atau hero, dalam tindakan apa-apa sekalipun sama ada secara sedar atau tidak sedar, maka penting sekali kita dahulu yang mengawal panik tersebut.

#2- Mulakan Bicara Dengan Telus

Jangan bimbang untuk memulakan perbualan yang mendalam dengan anak-anak. Berlaku jujur dengan mereka dengan merujuk poster atau pengumuman rasmi dari sumber yang dipercayai agar berita itu tidak nampak sensasi semata-mata namun lebih kepada fakta yang tepat.

Apabila kita memulakan bicara dengan separa betul, kemudian tidak begitu mendalam dan cuma berkias-kias, anak-anak akan lebih bimbang dan kurang yakin dengan kita.

Itu boleh menyebabkan anak-anak sukar dalam mengendalikan kerisauan sehingga menjadi panik. Kalau boleh jadikan rutin setiap kali makan malam atau sesi bermain bersama mereka sebagai waktu untuk berbual secara mendalam dan jujur dengan mereka supaya mereka lebih peka, dengar dan bersedia pada masa akan datang.

#3- Tanya Mereka Apa Yang Mereka Tahu Tentang Virus?

Seperti saranan oleh Robin Goodman, kita perlu dengar dahulu apa yang anak-anak kita faham mengenai virus ini, dari mana berita itu dia ketahui dan baca, siapa yang beri dia kesedaran, dan daripada situ kita boleh wujudkan interaksi dua hala dalam perbualan. Kita mendengar dahulu, disamping itu kita perelokkan pendapat mereka dengan informasi yang lebih sahih tanpa kita mengecam atau mengkritik.

#4- Berkomunikasi Mengikut Kesesuaian Umur Anak Anda

Ibu bapa harus faham perbezaan gaya fikir anak-anak mengikut umur masing-masing. Gunakan laras bahasa yang selari dengan penggunaan yang sesuai mengikut umur dan tahap Pendidikan usianya. Selari dengan saranan daripada hadis Nabi saw bahawa kita perlu berbicara dengan seseorang sesuai dengan kadar akalnya.

Ini adalah tips yang disarankan oleh ahli psikologi bagaimana hendak bertutur tentang virus Covid-19 mengikut umur anak yang tertentu:-

6 Tahun Dan Ke Bawah

Untuk anak kecil yang berumur 6 tahun dan ke bawah, tidak perlulah kita perincikan apakah nama saintifik virus sebab mereka masih belum boleh faham proses saintifik itu apa.

Ibu bapa hendaklah berhati-hati ketika berbual bersama pasangan atau orang dewasa di hadapan kanak-kanak ini mengenai wabak virus atau di depan kaca televisyen kerana ia boleh menimbulkan tanda panik pada anak.

Sebaliknya, kita boleh terangkan pada anak kita tentang apakah itu virus secara gambaran mudah, ambil sebuah gambar dari internet bagaimana bentuk virus itu dan apakah peranannya pada badan manusia bila dijangkiti. Kemudian jelaskan pada dia kenapa kita perlu basuh tangan dengan kerap, elakkan menyentuh muka ketika tangan kotor, jangan dekat dengan orang yang sakit dan sebagainya.

Jadikan aktiviti membasuh tangan itu sebagai menarik, contohnya dengan menyanyi dan melakukannya bersama-sama.

Peringkat Sekolah Rendah

Untuk peringkat umur yang sebegini, kita boleh kongsikan mereka data dan maklumat tentang penyakit ini dan kesannya kepada manusia. Tetapi jika boleh, elakkan daripada menunjukkan statistik jumlah kematian atau yang kritikal, apatah lagi usia anak kita masih muda.

Tekankan pada dia bahawa orang dewasa dikalangan pakar kesihatan sedang bergiat usaha untuk menanganinya dan kawasan kediaman dan tempat tinggal masih selamat jika mengikut pesanan kerajaan.

Sentiasa ikuti perkembangan situasi semasa, dan beritahu pada anak-anak kita dengan penuh yakin bahawa keadaan masih selamat. Yang paling penting sentiasa lakukan rutin membasuh tangan dan penjagaan kebersihan yang optima.

Nasihati anak-anak supaya elakkan daripada mengambil maklumat dan melihat berita-berita sensasi di sosial media berbanding daripada berita arus perdana atau platform berita digital yang sahih.

Umur Remaja Belasan Tahun

Pada usia ini, kita tidak boleh sembunyikan fakta dan maklumat yang sudah bertebaran, kerana mereka sudah pun berupaya mencarinya sendiri kerana usianya yang sudah mampu menggunakan telefon pintar dan akses kepada laman maya.

Apa yang kita boleh lakukan ialah sentiasa berkomunikasi dengan mereka dengan mencari jawapan kepada persoalan ini secara bersama. Dari situ perbincangan yang sihat akan terjadi yang mana kita dan anak-anak bekerjasama mencari maklumat yang sahih dan menapis maklumat yang palsu.

Apa yang paling penting ialah kita sebagai ibu bapa mesti mewujudkan perbualan yang serius, jujur, terbuka dan meraikan satu sama lain.

Hal ini dapat memupuk kematangan dalam perbualan dan hubungan kekeluargaan yang lebih sihat. Disamping itu, kita mampu mencegah daripada penyakit mental yang lain seperti kebimbangan dan panik dikalangan anak-anak tanpa kita sedari kerana capkali perkara sebegini berlaku kerana kecuaian ibu bapa dalam berkomunikasi.

Kebanyakannya tidak menjaga etika perbualan di dalam rumah, mencampur adukkan perbualan versi orang dewasa dan kanak-kanak – ia akan semakin mencetuskan keresahan dan kesalah fahaman.

Sentiasalah beritahu kepada anak-anak dengan jujur dan yakin bahawa pihak berkuasa sentiasa berjaga-jaga di luar sana dan kita sebagai ibu bapa sentiasa ada bersama mereka dalam keadaan apa sekalipun.

Apa yang membuatkan anak kita lebih yakin ialah apabila ibu bapa tidak pernah meninggalkan mereka di dalam bilik seorang diri dan tertanya-tanya sambil menongkat dagu kepelikan.

Jangan menambah penyakit yang sedia ada menjadi barah seperti kesunyian, kebimbangan dan panik melampau. Bimbang nanti bukan virus Covid-19 yang datang singgah ke rumah kita, sebaliknya virus keresahan yang menjangkiti kita semua.

Rujukan:
Coronavirus: How To Talk To Your Kids About The Disease
Experts offers parents advice for talking to their children about the COVID-19 outbreak




No comments:

Powered by Blogger.