Bagaimana Jika Tertinggal Qunut Dan Sujud Lebih Dahulu Daripada Imam
Antara salah satu kewajipan seseorang yang bersolat jemaah adalah mengikut pergerakan imam. Rasulullah SAW menyebutkan bahawa imam itu ada untuk diikuti – tidak boleh bertakbir sebelum imam mengangkat takbir, tidak boleh rukuk sehingga imam rukuk dan begitulah seterusnya.
Namun bagaimana pula jika pergerakan itu dilakukan secara tidak sengaja. Contohnya tidak menyangka yang imam akan membaca Qunut dalam solat, lalu makmum terus sujud. Saat itu, apakah yang perlu dilakukan?
Sebelum berbicara lebih lanjut berkaitan masalah ini, terlebih dahulu kita perlu mengetahui hukum melakukan semula perkara sunat yang tertinggal.
Hukum Melakukan Semula Perkara Sunat Yang Tertinggal
Apabila seseorang itu terlupa melakukan perkara-perkara sunat dalam solat seperti tasyahhud awal atau qunut atau perkara sunat yang lain, maka ada dua keadaan yang menentukan sah atau batal solatnya.
Keadaan Pertama
Teringat belum melakukan perbuatan sunat setelah sampai ke perbuatan seterusnya.
Bagi keadaan yang pertama, jika seseorang itu terlupa melakukan qunut dan telah sujud, maka dia tidak boleh lagi bangun semula kerana akan dikira seperti menambah perbuatan dalam solat dan solat akan dikira batal. Tetapi jika dia bangun semula disebabkan tidak tahu hukumnya, maka tidak membatalkan solat.
Sama juga jika seseorang itu terlupa melakukan tasyahud awal dan terus bangun ke paras sekurang-kurangnya berdiri tegak, dia tidak lagi boleh kembali duduk untuk melakukan tasyahud.
Keadaan Kedua
Teringat belum melakukan perbuatan sunat sebelum sampai ke perbuatan seterusnya.
Contoh bagi keadaan kedua pula, seseorang yang bersembahyang terlupa Qunut dan ingin sujud namun masih belum sampai ke paras sujud, maka dia boleh kembali melakukan Qunut.
Sama juga jika seseorang itu terlupa melakukan tasyahud awal dan terus bangun namun belum sampai sekurang-kurangnya berdiri tegak, dia boleh kembali duduk melakukan tasyahud awal, dan sunat juga melakukannya.
Hukum Mendahului Imam Dalam Pergerakan
Jika seseorang itu solat bersama imam, ada beberapa keadaan yang perlu difahami.
Pertama, makmum terlupa membaca Qunut dan terus bergerak untuk sujud sedangkan imam masih berdiri membaca Qunut. Dalam hal ini jika makmum belum sampai meletakkan seluruh anggota sujud, dia perlu bangun semula mengikut imam membaca Qunut. Jika telah sujud sepenuhnya, dia perlu niat mufaraqah (berpisah) daripada imam bagi mengelakkan solatnya batal.
Kedua, jika imam dan makmum kedua-duanya terlupa untuk membaca Qunut. Kemudian imam teringat sebelum sujud sepenuhnya dan kembali berdiri tegak untuk membaca Qunut, maka makmum wajib juga mengikut imam. Jika makmum tidak mengikut Imam dan tidak pula niat berpisah dengan imam, maka solatnya akan menjadi batal.
Ketiga, jika imam dan makmum telah sujud, kemudian imam baru teringat bahawa dia tidak membaca Qunut dan bangun kembali, maka makmum perlu niat berpisah daripada imam kerana perbuatan itu jelas tidak dibolehkan kerana dikira menambah rukun atau perbuatan dalam solat.
*Hal ini juga terpakai dalam hal sunat yang lain seperti duduk tasyahud awal.
Penting untuk kita memahami permasalahan sebegini yang kadang kala terjadi dalam solat, bimbang solat menjadi sia-sia tanpa kita mengetahuinya. Semoga perkongsian ini dapat mejelaskan kesamaran dan kekeliruan yang dialami. Wallahua’lam.
Rujukan:
Fatwa Irsyad Brunei
No comments: