Ads Top

Akidah Seorang Muslim Apabila Berdepan Wabak

Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya bahawa setiap yang berlaku di atas dunia ini telah ditentukan Allah. Ini termasuklah musibah yang melanda kita sama ada ke atas dunia atau ke atas diri kita secara khusus. Hal ini disebut dalam surah Al-Hadid ayat 22;

“Tidak ada sesuatu musibah atau bala bencana yang ditimpa di bumi dan kamu melainkan ia telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan kami), sebelum kami menjadikannya. Sesungguhnya bagi kami amatlah mudah”.

Menurut Ibnu Abbas yang dimaksudkan ‘Kitab’ dalam ayat tersebut ialah Luh Mahfuz. Berkata Ibnu Abbas lagi,

“Tatkala Allah menjadikan kalam, maka ia berkata tulislah!, lalu kalam itu menuliskan apa yang akan terjadi sampai hari kiamat”

Ini termasuklah wabak Corona Virus yang sedang melanda seluruh dunia pada waktu ini. Seorang Muslim harus percaya bencana ini berlaku dengan ketentuan daripadaNya.

Walaupun wujud juga teori konsipirasi dan spekulasi mengatakan ia berpunca daripada perancangan jahat pihak tertentu. Namun dengan memalingkan kiblat keimanan kita kepada Allah, ia akan meluruskan kepercayaan kita supaya sentiasa reda dan tenang menghadapi segala musibah.

Pokok pangkalnya, apabila seseorang mengimani bahawa wabak ini adalah takdir yang ditentukan Allah, dia telah menurut kepercayaan yang wajib dituruti.

Namun mempercayai suatu wabak itu datang daripada ‘ketentuan tuhan sahaja’ tidak cukup menjadikan kita seorang Muslim yang hakiki, jika tindakan atau usaha yang dilakukan tidak selari dengan ajaran agama.

Ada orang yang keliru dalam membuat tindakan untuk menghadapi suasana getir ini dengan hanya bergantung kepada takdir yang Allah tentukan tanpa berusaha dengan cara yang benar menurut kefahaman agama yang lurus.

Dalam kitab “Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang ditulis Haji Said Haji Ibrahim ada dibahaskan tentang hubungan usaha dengan takdir Allah. Saya rumuskan seperti pembahagian di bawah;

Manusia Tidak Dapat Lari Daripada Takdir Allah

Dalam kitab tersebut ada menyebut “Kita haruslah mempercayai “Takdir Allah” dan “Usaha Makhluk” tidak mempunyai perkaitan. Takdir Allah adalah suatu ketentuanNya ke atas makhluk manakala usaha pula adalah perbuatan makhluk yang dikurniakan menurut kemampuan masing-masing”.

Maksudnya, ketentuan Allah itu adalah hak mutlak bagi Allah yang bergantung kepada kehendaknya. Jika seseorang berusaha sekalipun, jika itu yang dikehendakiNya maka jadilah apa yang dikehendaki.

Dalam hal ini usaha manusia tidak berdaya mengubah “Takdir Allah”. Dalam hal ini, pengarang buku tersebut memberi contoh seorang lelaki yang telah berpergian ke sebuah kampung yang sedang dilanda taun (tanpa diketahuinya) lalu dijangkiti taun dan meninggal dunia. Maka itulah ‘takdir’ yang ditentukan kepadanya. Maka penyakit taun yang terkena kepadanya itu adalah penyebab kematiannya.

Berusaha Bukan Melawan Takdir, Itu Juga Takdir Allah

Kisah ini masyhur. Dalam kitab tersebut juga memperinci kisah Saidina Umar ketika pergi ke Wilayah Sham. Wilayah itu sedang dilanda wabak taun lalu beliau bermesyuarat dengan sahabat-sahabat yang lain.

Sebahagian besar berpendapat lebih baik tidak masuk ke daerah itu, memandangkan wabak taun yang semakin merebak. Kecuali seorang sahabat bernama Abu Ubaidah yang berpendapat sebaliknya lalu dia berkata,

“Adakah engkau hendak lari daripada takdir Allah?

Saidina Umar membalas,

“Engkau tidak sepatutnya berkata demikian”

Kemudian ada seorang sahabat bernama Abdul Rahman berkata. Sesungguhnya aku mendengar Rasullullah bersabda;

“Apabila kamu sudah berada di dalam negeri yang sedang diserang taun, maka janganlah kamu keluar daripada kampung itu. Dan apabila kamu sedang menuju ke kampung itu, maka janganlah kamu masuk”. (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, kita wajib mempercayai segala musibah yang terjadi di dalam dunia ini, semuanya dengan keizinan Allah dan dalam pengetahuanNya. Tiada siapa dapat menghalang sesuatu itu berlaku jika Dia mahu suatu bencana itu terjadi. Sebagai seorang muslim kita wajib berusaha dan berdoa agar dilindungi daripada wabak berbahaya yang melanda seluruh dunia kini.




No comments:

Powered by Blogger.