Ads Top

Adakah Meminta Doa Dengan Terperinci Dikira Melampau

Doa adalah penghubung antara seorang hamba dan Tuhannya. Melalui doalah akan terzahir segala rasa, pengharapan dan juga suara hati seseorang daripada lubuk paling dalam. Doa adalah rahsia hanya antara seseorang dan Allah.

Kita sudah seringkali diingatkan bahawa ada adab-adab dan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi apabila berdoa. Antaranya seseorang mestilah memastikan bahawa pakaian, tempat tinggal dan apa yang dimakan adalah daripada sumber yang halal.

Allah Maha Mendengar setiap permintaan dan kemahuan hamba-hambanya, namun adakah ini bermakna kita boleh berdoa apa sahaja? Adakah kita perlu berdoa secara terperinci tentang apa yang dimahukan?

Ada sebuah kisah menarik antara Abdullah bin Mughoffal dan juga anaknya tentang doa.

Pada suatu hari beliau pernah mendengar anaknya berdoa meminta istana di syurga.

“Ya Allah, jika aku masuk syurga berikanlah kepadaku istana berwarna putih di sebelah kanan syurga.”

Lalu Abdullah menegur anaknya dengan berkata,

“Wahai anakku jika berdoa, mintalah pada Allah syurga dan mintalah agar dijauhkan dari neraka kerana aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Akan datang pada umat ini orang-orang yang berlebihan dalam bersuci dan dalam berdoa.” (HR. Abu Daud, no. 96 & Ibnu Majah, no. 3864)

Siapakah yang dimaksudkan dengan orang yang berlebihan dalam berdoa ini?

Adakah dia orang yang sangat banyak meminta kepada Allah?

Hadis di atas telah diulas oleh beberapa orang ulama.

Dalam Kitab Faidhul Qadir disebutkan pendapat bahawa Abdullah bin Mughaffal R.anhu melarang anaknya berdoa seperti itu kerana permintaan tersebut tidak sesuai dan tidak mungkin dapat diraih oleh amal perbuatannya yang tidak setimpal.

Selain itu, permintaan itu tidak sesuai kerana seolah-olah menganggap diri sendiri sudah sempurna. Itulah yang dianggap sebagai berlebihan dalam berdoa.

Manakala Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata bahawa berdoa memohon sesuatu yang menjadi keistimewaan dan dikhususkan buat para nabi padahal dia bukan seorang nabi termasuk berlebihan dalam berdoa.

Manakala Imam Manawi berkata bahawa apa yang dimaksudkan adalah meminta sesuatu yang tidak boleh atau mengeraskan suara ketika berdoa.

Contoh: “Ya Allah, aku meminta supaya dapat berkahwin dengan isteri kawan aku.”

Ia sudah jelas adalah doa yang salah dan tidak dibolehkan kerana ibaratnya mengharapkan hal yang buruk berlaku kepada hubungan perkahwinan seseorang sehingga dia berpisah dengan pasangannya.

Secara ringkasnya, banyak berdoa mahupun meminta doa dengan terperinci adalah tidak salah malah disukai oleh Allah. Malah dalam sebuah hadis sahih, disarankan untuk berdoa kepada Allah hatta jika selipar terputus tali. Dalam erti kata lain, Allah suka seorang hambaNya mengadu walau dalam hal-hal yang kecil.

ÙˆَÙ‚َالَ رَبُّÙƒُÙ…ُ ادْعُونِÙŠ Ø£َسْتَجِبْ Ù„َÙƒُÙ…ْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa (permohonan) kamu.” (Surah Al-Ghafir 40:60)

Berlebihan dalam berdoa merangkumi, apa jua jenis doa yang tidak baik, yang tidak dibenarkan oleh Islam serta doa memohon keistimewaan yang dikhususkan buat Nabi dan Rasul.

Oleh itu, mengadulah apa yang dirasai, apa yang dialami dan apa yang diperlukan kepada Allah. Berdoalah yang baik-baik, dengan keyakinan yang tinggi bahawa ianya akan dikabulkan. InsyaAllah.

Rujukan:
Almanhaj.or.id




No comments:

Powered by Blogger.