Ads Top

(Video) Israel ‘Seret’ Mayat Dipercayai Warga Palestin Dengan ‘Bulldozer’

Gaza, 24 Feb – Israel didakwa menyeret tubuh dipercayai seorang warga Palestin menggunakan ‘bulldozer’ dalam satu video yang tular semalam.

Dalam kejadian didakwa berlaku di sempadan Israel-Gaza itu, sebuah ‘bulldozer’ dilihat mara ke arah jasad seorang lelaki.

Beberapa saksi yang berada di tempat kejadian dilihat tergesa-gesa cuba menyelamatkan individu berkenaan, namun tidak sempat menarik tubuh badan mangsa.

Susulan itu, tentera Israel menggunakan jentera tersebut didakwa bagi mendapatkan jasad lelaki berkenaan.

Biarpun tindakan rejim itu mendapat banyak kecaman, menteri pertahanan Israel, Naftali Bennett menganggap tindakan itu wajar, lapor New York Times.

Dia mendakwa tindakan mengambil mayat itu adalah sebagai pertukaran kepada dua mayat askar Israel yang masih berada di Gaza sejak 2014.

Ketegangan dilaporkan bermula pada 6.30 pagi semalam apabila Israel mendakwa tenteranya ternampak dua warga Palestin dari Kumpulan Jihad Palestin didakwa meletakkan bahan letupan berhampiran sempadan timur Khan Younis.

Dalam pertembungan itu, tentera Israel dilaporkan menembak peluru anti-tangki kepada dua lelaki berkenaan.

Serangan itu mencederakan seorang dan membunuh seorang yang lain.

Berdasarkan kenyataan Jihad Islam Palestin, mangsa yang terkorban adalah Muhammad al-Naem, 27 yang merupakan salah seorang ahli kumpulan itu, lapor NY Times.

Menurut seorang jurucakap tentera Israel, Israel menggunakan jentera itu kononnya bagi memastikan mangsa tidak memakai jaket bom berani mati.

Ketika kejadian, orang awam Palestin yang melihat kejadian itu cuba mendapatkan jasad mangsa, menyebabkan tentera Israel menembak ke arah kumpulan itu dan mencederakan sekurangnya seorang daripada mereka, lapor NY Times.

Sumber: NY Times

The post (Video) Israel ‘Seret’ Mayat Dipercayai Warga Palestin Dengan ‘Bulldozer’ appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.