Ads Top

Siapakah Manusia Pertama Yang Dibangkitkan Di Hari Akhirat

Selepas tiupan sangkakala kedua, semua makhluk di muka bumi akan mati. Kemudian, mereka akan dibangkitkan semula di hari akhirat kelak di sebuah tempat yang bernama Padang Mahsyar. Pada waktu itulah semua makhluk akan bangkit bagi dihisab segala amalannya.

Allah telah menurunkan surah Al-Zumar ayat 30-31 yang menyebut bahawa hari kiamat kelak merupakan hari di mana segala tingkah-laku dan amalan yang akan dikira sehingga menyebabkan berlakunya pertelingkahan sesama manusia. Masing-masing ingin menyelamatkan diri sendiri sehingga setiap amalan akan diungkit.

Apabila turunnya ayat ini, sahabat Baginda, iaitu Zubair bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?” Baginda SAW kemudian menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Maksud: “Ya benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, no. 3236)

Walau bagaimanapun, hari akhirat merupakan hari perhitungan yang adil. Bagi setiap perkara yang dilakukan di dunia, akan dihisab dengan sebaik-baiknya. Bagi mereka yang melakukan kebaikan dan layak baginya untuk masuk ke syurga, maka dia akan dimasukkan ke syurga. Begitu juga dengan buat mereka yang melakukan dosa dan telah dihisab dengan sebaiknya, maka baginya neraka.

Rasulullah Manusia Pertama Dibangkitkan

Masa berada di padang Mahsyar adalah sangat lama, bergantung kepada hisab yang dilakukan ke atas anda. Keadaannya yang panas ditambah dengan berbilion manusia yang menunggu giliran, pastinya pada waktu itu kita amat memerlukan pertolongan.

Kemuliaan Baginda SAW telah menjadikannya insan yang paling istimewa. Baginda diberikan syafaat khusus buat umat baginda. Baginda akan memberikan syafaat tersebut di akhirat kelak dan kemuliaannya itu menjadikan Baginda sebagai manusia pertama yang akan dibangkitkan di akhirat kelak.

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ

Maksud: “Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaat dan dibenarkan memberi syafaat.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2278)

Menurut jumhur ulama dan ahli sunnah, kedudukan anak Adam adalah lebih mulia berbanding malaikat dan makhluk lain. Nabi SAW pula merupakan manusia yang paling mulia. Imam Nawawi juga berpendapat bahawa inilah kelebihan yang ada pada Baginda SAW sehingga mampu memberi syafaat kepada umatnya juga.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.