Ads Top

Sebab Pengharaman Proses Ibu Tumpang

Ibu tumpang ialah wanita yang menumpangkan rahimnya kepada pihak lain (suami isteri) untuk mengandung selama 9 bulan terhadap hasil persenyawaan pasangan suami isteri tersebut.

Selepas melahirkan, bayi tersebut hendaklah diserahkan kepada pihak suami isteri asalnya. Ia dilakukan berdasarkan kontrak dan perjanjian yang telah disepakati oleh kedua-dua belah pihak.

Faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya ibu tumpang kerana terjadinya masalah-masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan seperti isteri tidak mampu hamil atau melahirkan, rahimnya tidak kuat untuk mengandung dan juga disebabkan oleh masalah-masalah kesihatan yang lain.

Dalam istilah Arab, ia dikenali sebagai ar-rahmu al-musta’jir atau al-‘ummu al-badilah. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil surrogate mother.

Antara bentuk ibu tumpang ialah;

#1 – Benih isteri disenyawakan dengan benih suami. Kemudian, ia akan dimasukkan ke dalam rahim wanita lain. Ia terjadi apabila rahim isteri telah dibuang akibat pembedahan atau penyakit tetapi masih mempunyai benih yang baik.

#2 – Benih yang telah disenyawakan dibekukan dan dimasukkan ke dalam rahim ibu tumpang selepas kematian pasangan suami isteri itu.

#3 – Benih isteri disenyawakan dengan benih lelaki lain (yang bukan suaminya) kemudian dimasukkan ke dalam rahim wanita lain. Keadaan ini berlaku apabila suami mengalami kemandulan dan isteri pula mempunyai masalah pada rahim tetapi masih mempunyai benih yang elok.

#4 – Benih suami disenyawakan dengan benih perempuan lain kemudian dimasukkan ke dalam rahim perempuan lain. Selalunya, ia terjadi apabila isteri ditimpa penyakit pada ovari dan rahimnya tidak kuat untuk hamil atau telah mengalami proses menopause.

#5 – Benih suami dan isteri disenyawakan kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri yang lain daripada suami yang sama (poligami).

Hukum Sebenar Ibu Tumpang

Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah melalui fatwanya telah menyebut bahawa hukumnya adalah haram. Antara sebab yang paling utama ialah untuk menjaga nasab keturunan bayi tersebut. Dalam kes ibu tumpang, nasabnya akan bercampur dan akan menimbulkan persoalan kepada hukum-hukum lain.

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ

إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

Maksud: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.” (Surah Al-Mu’minun, 23:5-6)

Nasab merupkan salah satu daripada lima perkara yang perlu dijaga – Agama, jiwa, akal, nasab dan harta.

Ia juga boleh memberi kemudaratan terhadap perempuan yang menyewakan rahimnya apabila dia perlu berpisah dengan anak yang telah dikandungnya selama sembilan bulan. Ia boleh membunuh rasa keibuan setelah ditatang dengan penuh susah payah.

Apabila keadaan ini berluasa dan diterima umum, ia akan mengkomersialkan rahim sebagai salah satu alat perniagaan semata-mata. Perkahwinan pula tidak lagi dianggap sebagai sebuah perkara yang utama dan ikatan suci.

Kesimpulan

Hukum yang jelas dan telah dipersetujui ulama ialah haram sekalipun terdapat keperluan yang jelas seperti mengalami penyakit. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya masalah yang lebih besar terutamanya dari segi nasab.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.