Niezam Zaidi Seminggu Tak Keluar Rumah Gara-Gara Watak Filem M4M4
Mendapat pujian ramai di atas lakonan cemerlangnya menerusi filem M4M4, Niezam Zaidi mendedahkan karakter penagih dadah dan perogol yang dibawakannya bukanlah sesuatu yang mudah.
Walaupun sering ditawarkan watak antagonis namun menurut Niezam, karakternya kali ini cukup mencabar sehinggakan dia tidak keluar daripada rumah selama seminggu bagi menghilangkan secara keseluruhan ‘roh’ watak Remy yang dijayakannya.
“Untuk pegang dan lakonkan watak Remy ini sangat perit. Selepas habis penggambaran hampir seminggu saya tidak keluar rumah. Jujur saya cakap, kita selamat hanya disebabkan agama Islam. Kalau tiada iman, ya Allah saya sampai terbawa-bawa karakter itu dalam kehidupan.
“Watak ini sangat berat untuk saya, saya jadi ‘lost’ sampai tak tahu apa dah jadi dengan diri saya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada malam gala tayangan filem M4M4 yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara baru-baru ini.
Menurut Niezam lagi, gaya rambutnya dalam filem itu juga membuatkan kanak-kanak takut untuk mendekatinya sepanjang dirinya berimej sedemikian untuk penggambaran M4M4.
“Sepanjang saya melakonkan watak itu, saya jarang nak keluar rumah. Tapi bila sekali saya keluar, budak-budak yang nampak saya mereka jadi takut.
“Saya pula suka budak, awalnya saya pelik kenapa mereka nampak takut dengan saya, rupa-rupanya sebab rambut saya begini,” ujarnya berseloroh.
Filem arahan Eyra Rahman itu turut menampilkan Nabila Huda, Kodi Rasheed, Bella Dowanna, Eyra Hazali, Ungku Hariz dan Izzy Reef. M4M4 yang diterbitkan Da Motion Media bakal ditayangkan di 107 pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.
M4M4 yang memaparkan genre horror thriller mengangkat plot cerita mengenai ketabahan seorang wanita dalam membalas dendam untuk menuntut keadilan terhadap kematian tragis anak perempuannya. – KopiPlanet.com
SINOPSIS M4M4:
Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.
Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.
Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.
Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.
Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com
The post Niezam Zaidi Seminggu Tak Keluar Rumah Gara-Gara Watak Filem M4M4 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: