Muraqabah – Percaya Bahawa Allah Memantau Segalanya
Muraqabah dari segi bahasa bermaksud pengawasan dan pantauan. Manakala dari segi istilah ialah keyakinan yang ada pada diri seseorang bahawa Allah sentiasa mengawasi, melihat, mendengar dan mengetahui segenap perkara.
Sebahagian ulama memberi pendapat masing-masing dalam hal muraqabah ini.
Syeikh Ibrahim bin Khawwas contohnya mengatakan bahawa muraqabah adalah amalan yang bersih, sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan. Ini kerana, orang yang menyedari bahawa Allah sedang mengawasi sudah tentu menjaga setiap tindakan dan perilaku tidak kira masa atau di mana sekalipun.
Manakala ulama lain berpendapat bahawa muraqabah ini merangkumi pemahaman terhadap sifat-sifat Allah seperti Arraqib (Yang Maha Mengawasi), Al-Alim (Yang Maha Mengetahui), Assami’ (Yang Maha Mendengar) dan Al-Basir (Yang Maha Melihat). Justeru, orang yang memahami dengan mendalam tentang sifat-sifat Allah ini maka kesannya akan terzahir pada amalannya.
Syeikh Dr Abdullah Nasih Ulwan menggariskan 4 jenis muraqabah dalam Kitab Tarbiyah Ruhiyah (Didikan Kerohanian):
#1- Muraqabah Dalam Ketaatan Kepada Allah SWT
Muraqabah dalam ketaatan kepada Allah adalah menjalankan segala perintah Allah dengan penuh keikhlasan hanya kerana Allah. Oleh kerana dia menyedari bahawa Allah mengetahui niat yang tersembunyi dalam jiwanya, maka dia memelihara sebaiknya ibadah dan amalan.
#2- Muraqabah Dalam Kemaksiatan
Bermakna, seseorang itu menjauhi perbuatan dosa dan maksiat. Jika dia telah melakukan maksiat sekalipun, dia bertaubat dan meninggalkan kesalahan kerana menyedari bahawa Allah mengetahui, mengawasi dan berupaya pula mengampunkan.
#3- Muraqabah Dalam Hal-Hal Yang Bersifat Mubah (Harus)
Orang yang mempunyai sifat muraqabah akan menjaga adab-adab terhadap Allah. Contohnya, dia tidak kufur nikmat yang telah diberikan. Dia bersyukur, menjaga hubungan baik dengan orang, jujur, amanah, tidak lokek untuk membantu mereka yang memerlukan, berani berkata benar dan sebagainya.
#4- Muraqabah Terhadap Ujian Dan Musibah Yang Menimpa
Iaitu sabar dan reda dengan musibah dan ujian yang menimpa. Di samping itu, dia sedar bahawa segalanya adalah kepunyaan Allah, maka Allah berhak untuk memberi dan mengambil apa jua perkara milikNya. Seorang yang mempunyai muraqabah ketika diuji juga percaya bahawa Allah tahu yang terbaik untuk dirinya dan dia tidak putus asa daripada mengharapkan rahmat Allah.
Justeru, orang yang telah menjadikan konsep muraqabah sebagai pasak dan tunjang akan mampu memandu dirinya. Kesedarannya terhadap pengawasan Allah menyebabkan dia juga bertindak mengawasi diri sendiri. Dia menghisab setiap perbuatan sebelum dihisab di akhirat kelak.
Sumber: Ustaz Iqbal Zain
No comments: