Muhasabah – Mari Refleksi Ke Dalam Diri
Bilakah kali terakhir kita merenung ke dalam diri dan melakukan muhasabah?
Menurut Kamus Dewan Bahasa, muhasabah adalah perbuatan menilai diri sama ada fikiran, pendirian, perasaan dan sebagainya untuk pembaikan diri. Ia juga biasa disebut sebagai introspeksi.
Muhasabah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab. Perkataan asalnya adalah حسب (hasaba-yahsubu-hisaaban) yang bermaksud menghitung atau mengira. Oleh itu, muhasabah adalah usaha seorang Muslim untuk menghitung dan menilai diri sendiri. Setiap mukmin dianjurkan melakukan muhasabah tidak kira dalam urusan dunia mahupun akhirat.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr 59:18)
Seseorang itu perlu merenung perkara baik dan buruk yang telah dilakukan. Ia bukan sahaja tentang aspek-aspek luaran seperti tindakan, malah aspek dalaman seperti niat serta tujuan sesuatu tindakan atau amalan itu dilakukan.
Dalam Islam, proses muhasabah ini berkait rapat dengan kesedaran bahawa setiap apa pun yang dilakukan akan dicatat oleh malaikat pencatat amalan serta dalam pengetahuan Allah SWT.
Menyedari hakikat ini, seseorang akan terus melakukan proses check and balance terhadap dirinya dari semasa ke semasa. Dia juga akan memohon taubat jika melakukan kesalahan kepada Allah serta berterusan menampal setiap kelompongan dan kelemahan diri dengan amalan tambahan atau tindakan yang sepatutnya.
Kata-Kata Mutiara Tentang Muhasabah Diri Daripada Ahli Sufi
Hasan Al-Basri pernah berkata bahawa,
“Demi Allah sesungguhnya orang Mukmin itu selalu menegur dirinya: Apa yang aku inginkan dengan percakapanku? Apa yang aku inginkan dengan makananku? Apa yang aku inginkan dengan minumku? Akan tetapi orang yang lemah terus melakukan dosa setapak demi setapak tanpa menyesali dirinya”
Kata Imam Hasan Al-Basri lagi, orang mukmin adalah orang yang sentiasa memperhatikan diri sendiri. Malah dikatakan bahawa proses perhitungan amal di hari kiamat kelak akan terasa lebih ringan jika seseorang sudah selalu memperbetulkan dirinya di dunia.
Muhasabah Boleh Dibahagikan Kepada Dua Bahagian
Menurut Ibnu Qayyim, muhasabah boleh dibahagikan kepada dua:
#1- Muhasabah sebelum melakukan sesuatu perkara.
Pada peringkat pertama ini, seseorang akan memperhatikan niat dan keinginan dirinya sebelum melakukan sesuatu perkara. Dia akan menilai tujuan perbuatan tersebut sama ada kerana Allah atau tidak.
#2- Muhasabah yang dilakukan setelah melakukan sesuatu.
Di sini, proses muhasabah boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:
Pertama, muhasabah diri kerana ketaatan yang kurang sempurna dalam menyempurnakan hak-hak Allah. Contohnya masih tidak ikhlas melakukan suruhan Allah, masih tidak khusyuk ketika solat, masih tidak mengikut sunnah Nabi SAW dan lain-lain.
Kedua, tentang perbuatan yang lebih baik ditinggalkan jika ia telah menjadikannya lalai daripada ibadah yang utama. Contohnya orang yang sibuk dengan solat malam sehingga Subuhnya dilewatkan.
Ketiga, muhasabah diri dalam perkara-perkara yang harus. Bermakna, seseorang itu perlu menilai adakah sesuatu perkara itu dilakukan kerana dunia semata-mata atau kerana akhirat. Atau adakah kerana mengharap redha Allah atau hanya kerana pandangan manusia.
Kesimpulannya, muhasabah adalah kemestian bagi orang yang beriman. Orang yang meninggalkan muhasabah akan terlepas pandang daripada memerhatikan apa yang telah dilakukan sepanjang hidupnya. Malah, orang yang meninggalkan muhasabah akan cenderung meremehkan banyak perkara, serta mudah terjerumus ke dalam dosa dan kesilapan. Wallahu’lam.
No comments: