Kisah Kaab Bin Malik Yang Tertangguh Keampunannya
Perang Tabuk telah berlaku pada tahun kesembilan Hijrah di antara tentera Muslim dan pasukan Rom (Romawi Timur). Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersama-sama dengan 30 000 tentera Muslim telah mengikuti peperangan ini manakala pasukan Rom telah membawa seramai 100 000 tentera.
Baginda SAW telah menyahut seruan jihad ini dengan memanggil semua kabilah dan tentera Muslim untuk bersiap-siaga dalam menghadapi pasukan musuh itu. Baginda juga meminta golongan yang kaya untuk menyumbangkan harta mereka bagi mempersiapkan perang tersebut.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa golongan yang sangat takut dan ragu-ragu dengan ajakan perang kali ini. Ada yang memberi alasan bahawa mereka telah tua dan uzur untuk mengikuti perang. Ada juga yang mengatakan bahawa cuaca panas kali ini menyebabkan mereka ingin duduk di rumah sahaja serta untuk berpuasa.
“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah.” (Surah At-Taubah, 9:49)
Malah, bukan itu sahaja. Ada yang lebih terkutuk perangainya apabila mereka turut mengajak dan menghasut kaum Muslim yang lain untuk tidak turut serta dalam peperangan.
“Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: “Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Api neraka jahannam lebih panas membakar,” kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.” (Surah At-Taubah, 9:81)
Antara sahabat yang tidak ikut dalam Perang Tabuk ini ialah Kaab bin Malik. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sentiasa berjuang dan berjihad bersama-sama Baginda SAW. Bahkan, diriwayatkan bahawa beliau tidak pernah terlepas daripada perang yang terjadi.
Kewibawaan beliau dalam perang serta beberapa kemahiran lain seperti berpidato dan bersyair membuatkan musuh-musuh Islam begitu gerun dengannya. Dikhabarkan juga, semasa Perang Uhud berlaku, telah tersebar beberapa berita palsu berkenaan kewafatan Baginda sehingga menyebabkan umat Islam lemah dan lesu.
Walau bagaimanapun, Kaab bin Malik ialah orang yang mula-mula mendapati kepalsuan berita tersebut dan melaungkan dengan penuh berani bahawa Baginda masih hidup. Semangat yang jitu itulah yang menyebabkan tentera Islam berjuang sehingga ke ahirnya pada Perang Uhud.
Sebelum berangkat untuk Perang Tabuk ini, Baginda bertanya perihal Kaab bin Malik. Namun, para sahabat yang lain mengatakan bahawa beliau tidak ingin turut berperang.
Dalam beberapa riwayat ada menceritakan bahawa beliau sedang menikmati kesenangan yang sebelum ini tidak pernah dinikmatinya sejak peristiwa pembukaan Kota Mekah. Kebunnya yang subur, untanya yang mula beranak-pinak serta banyak lagi kekayaan yang diperolehnya menyebabkan beliau tidak mahu turut serta. Jumlah tentera Islam yang sudah ramai juga menyebabkan beliau menyangka bahawa kesalahannya kali ini adalah dimaafkan.
Walau bagaimanapun, Baginda menyerahkan perbuatan itu kepada Allah. Baginda ingin fokus terlebih dahulu kepada perang yang bakal berlaku ini.
Selepas 10 hari Baginda dan pasukannya berada di Tabuk, pihak musuh tetap tidak muncul. Mereka mengambil peluang yang ada di situ untuk berjaga dan mengawasi jika ada tanda-tanda pihak musuh akan datang menyerang. Dalam masa yang sama, mereka turut mengajarkan Islam kepada penduduk yang ada di situ.
Kemudian, mereka dikunjungi oleh Yuhanah bin Rubbah dari Ailah dan menawarkan perdamaian dengan Baginda selain menyerahkan jizyah (hak yang diberikan leh orang kafir kerana mereka tunduk kepada agama Islam).
Tentera Islam akhirnya kembali ke Madinah dengan kemenangan tanpa pertumpahan darah. Inilah perang terakhir yang disertai oleh Baginda SAW.
Penyesalan Kaab Bin Malik
Sekembalinya mereka ke Madinah, golongan muslimin yang tidak ikut berperang meminta keampunan daripada Rasulullah SAW. Mereka menyesal dan menginsafi perbuatan tersebut yang dilakukan untuk kepentingan sendiri.
Kesemua mereka diberi kemaafan oleh Baginda kecuali ada tiga orang muslim yang keampunannya ditunda, iaitu salah seorangnya ialah Kaab bin Malik.
Mereka bertiga telah dipulaukan selama 50 hari. Tiada yang menyapa mereka apatah lagi membalas teguran mereka. Kaab bin Malik berasa sangat menyesal dengan tindakannya. Nikmat dan kesenangan yang telah dikurniakan mengakibatkan beliau buta dengan dunia.
Walaupun perang Tabuk itu tidak mengakibatkan pertumpahan darah, namun para sahabat akur dengan perintah yang dikeluarkan oleh Baginda terhadap pemulauan tersebut.
Mereka cuma khuatir jika pemulauan tersebut berlarutan sehingga mereka meninggal. Pasti Baginda SAW tidak akan mengimami jenazah mereka. Begitu juga jika Baginda wafat semasa pemulauan tersebut, pastinya ia akan berlarutan sehingga ke akhirnya.
Walau bagaimanapun, Kaab bin Malik tetap berusaha agar dosanya diampunkan. Beliau tidak pernah lupa untuk berdoa meminta keampunan di atas dosanya. Saban hari, beliau akan solat di masjid di belakang Baginda.
Kaab bin Malik berkata – “Demi Allah, andai aku duduk di sisi selainmu (wahai Rasulullah) dari golongan ahli dunia (saudagar), nescayalah aku mampu mendapat jalan keluar dari kemurkaannya dengan mengemukakan suatu alasan. Sebenarnya aku dikurniakan bakat bicara debat, tetapi bagiku (jika kepandaian ini digunakan untuk menipu daya) demi Allah, pastilah Dia Mengetahui bahawa kata-kataku kepada Rasulullah SAW adalah dusta walaupun Baginda terpesona dengan kata-kataku ini.
Jika demikian, sesungguhnya kemurkaan Allah akan diberitakan kepadamu wahai Rasulullah kerana pendustaanku. Sebaliknya jika aku memberitahu hal yang sebenarnya, yang demikian itu kamu pula yang akan murka ke atas diriku dalam hal ini.
Sesungguhnya aku menginginkan kesudahan yang baik daripada Allah. Demi Allah, aku tiada sebarang uzur sedikit pun sehingga tidak mengikuti peperangan ini. Demi Allah, sama sekali aku belum merasakan lebih kuat dan lebih ringan untuk mengikutinya, iaitu pada waktu aku menarik diri daripada menyertai Rasulullah sehingga tidak ikut ke Tabuk.”
Baginda SAW bersabda bagi menjawab keluhan tersebut – “Tentang orang ini, dia berbicara benar. Sekarang, bolehlah engkau pergi sehingga Allah memutuskan suatu hukuman tentang dirimu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2769)
Mereka Diganjarkan Keampunan
Pada malam ke-50, usai Kaab bin Malik solat Subuh di perkarangan rumahnya, beliau tiba-tiba terdengar suara yang kuat dari arah puncak gunung Sal’ein (salah sebuah gunung di Madinah) yang menyebut;
ÙŠَا Ùƒَعْبَ بْÙ†َ Ù…َالِÙƒٍ Ø£َبْØ´ِرْ
“Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah!”
Perasaan gembira tidak terkata sehingga beliau sujud syukur kerana yakin bahawa taubat mereka telah diterima oleh Allah SWT. Beliau dan dua orang lagi yang tertangguh keampunanannya, Murarah bin Al-Rabi dan Hilal bin Ummayah berasa sangat gembira dengan berita tersebut.
Maksud: “Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufik serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah At-Taubah, 9:118)
Baca juga:
Perang Tabuk, Kemenangan Di Bulan Rejab
Rujukan:
Al-Manhaj.or.id
No comments: