Ads Top

Mindfulness Dalam Beragama?

Mindfulness. Satu konsep ‘be present’ yang semakin popular pada zaman sekarang, khususnya bagi para pengamal kesihatan di dunia barat. Banyak kajian yang dijalankan untuk mengkaji fungsi mindfulness dalam pelbagai aspek kehidupan.

Malah konsep ini cuba diaplikasikan ke dalam aspek pemakanan (mindful eating), aspek pekerjaan (mindful working), kemahiran mendengar (mindful listening) dan juga kemahiran melihat (mindful seeing).

Pendek kata konsep ini menekankan supaya kita waspada dan sedar dengan apa yang sedang dilakukan dalam kehidupan seharian dan tidak melalui kehidupan dalam mod autopilot sahaja.

Namun, persoalan yang boleh kita tanyakan kepada diri sendiri sebagai seorang Muslim, bagaimana konsep ini dapat membantu kita untuk menjadi seorang yang lebih baik dalam beragama, atau menjadi seorang yang sedar dalam beragama.

Selalunya apabila kita melakukan suatu perkara berkali-kali, ia seakan-akan hilang makna dan tinggal rutin sahaja.

Contoh mudah adalah solat – kita telah melakukannya sejak kecil. Kita membaca bacaan yang sama, mengulang tindakan yang sama dan membaca doa yang sama. Akhirnya, ia menjadi suatu ibadah yang dilakukan ‘tanpa sedar’.

Bagaimana Menggunakan Konsep Mindfulness Sebagai Seorang Muslim

Apabila kita memahami bahawa mindfulness adalah suatu keadaan di mana badan dan minda dalam keadaan sedar tentang apa yang dilakukan dalam satu-satu masa, maka ia juga boleh diaplikasikan ke dalam amalan agama. Caranya adalah dengan meneliti ayat-ayat Al-Quran lalu diasimilasikan ke dalam kehidupan seharian.

#1- Sentiasa Merasakan Bahawa Allah Bersama Kita Di Mana-Mana Sahaja

“…dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” (Surah Al-Hadid 57:4)

Kita memang tidak dapat menggunakan pancaindera untuk melihat Allah, namun kita ada hati untuk merasai kewujudanNya. Bagaimana? Sudah pasti melalui apa yang kita lihat di sekeliling – hidupan seperti haiwan yang melata mencari makanan, burung yang terbang pada waktu pagi dan akan pulang ke sarang pada waktu petang, manusia yang sentiasa bergerak mengejar tujuan hidup dan sebagainya.

#2- Sentiasa Merasakan Bahawa Allah Mendengar Setiap Ucapan Dan Bisikan

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” (Surah Qaf 50:16)

Pasakkan dalam hati bahawa Allah sentiasa dekat dan tidak pernah jauh. Yang membuatkan kita merasa jauh dengan Allah adalah kesalahan dan dosa kita sahaja.

#3- Meyakini Bahawa Allah Mengetahui Segala Rahsia

“Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.” (Surah Taha 20:7)

Tidak perlu menyaringkan suara ketika berdoa kerana Allah Maha Mendengar. Allah mendengar bukan hanya suara yang keluar daripada kerongkong mulut kita malah suara yang jauh dari dalam hati. Tidak ada sesuatu yang akan terlepas daripada pandangan dan pengetahuan Allah.

#4- Merasakan Bahawa Allah Sentiasa Hampir

Allah tidak pernah jauh daripada hamba-hambaNya. Malah buktinya adalah Allah mengurus atur urusan hidup manusia, rezeki, takdir yang baik dan buruk serta perjalanan hidup manusia umumnya.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul” (Surah Al-Baqarah 2:186)

Kita perlu sedar bahawa kita hanyalah seorang hamba yang dipinjamkan sedikit masa di dunia. Justeru, untuk sentiasa sedar, kita perlu sentiasa melatih diri melihat kembali kata-kata Allah, mengambil masa sejenak untuk merenung dan memikirkan hakikat kejadian diri dan juga alam ini. Semoga dengan memahami konsep mindfulness, ia sedikit sebanyak dapat membantu proses yang dilakukan ini.

Baca juga: Bagaimana Mindfulness Boleh Membuat Anda Lebih Gembira Dan Tenang




No comments:

Powered by Blogger.