Ads Top

Menghina Fizikal Manusia Lain Dilarang Dalam Islam

Budaya body shaming telah lama berleluasa. Dalam kes-kes yang teruk di negara luar, kebanyakan mangsa akan mengambil jalan pintas dengan membunuh diri kerana tidak sanggup menerima tohmahan dan cacian berkenaan anggota badan mereka sekali gus boleh mengakibatkan kemurungan.

Badan yang gemuk, hidung yang penyek, kulit yang hitam dan pelbagai lagi bentuk cacian terhadap badan boleh mengakibatkan kepada kurangnya keyakinan diri dan mengganggu kesihatan emosi serta mental mereka.

Di Malaysia, body shaming telah diklasifikan sebagai jenayah buli siber dan mangsa yang mengalami gejala ini boleh membuat laporan secara terus kepada pihak polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jika didapati bersalah, pembuli boleh didenda tidak melebihi RM50 000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-keduanya sekali di bawah Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Kisah Baginda Melarang Mencela Fizikal Manusia

Menurut sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad (no. 3991) dan telah disahihkan oleh Syuaib al-Arnauth menyebut mengenai sebuah kisah Abdullah bin Mas’ud, seorang sahabat yang memiliki betis yang kecil.

Ketika beliau ingin mengambil ranting untuk dijadikan siwak, angin yang berhembus telah menyebabkan betisnya ternampak. Para sahabat yang melihatkan kejadian itu ketawa. Lalu, Baginda SAW bertanya akan sebab mengapa mereka ketawa.

Para sahabat menjawab sebab mereka ketawa kerana melihat betis Abdullah yang kurus, berbeza dengan betis-betis mereka yang kelihatan gagah perkasa.

Kemudian, Baginda SAW menegur perbuatan para sahabat tersebut. Teguran ini telah menunjukkan bahawa menghina dan mencela fizikal orang lain adalah haram.

والذي نفسي بيده لهما أثقل في الميزان من أحد

Maksud: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, sungguh kedua betis itu lebih berat di timbangan daripada Gunung Uhud.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 3991)

Hinaan itu sama ada dihina dengan lisan atau isyarat, maka hukumnya adalah sama, iaitu haram. Mentertawakan seseorang kerana fizikalnya sama ada dia tahu atau tidak, ia juga tidak dibolehkan.

Allah sendiri telah melarang hambaNya untuk menghina ciptaanNya sama ada secara lisan atau isyarat. Walaupun ia dilakukan atas dasar gurauan, namun ia boleh menimbulkan perasaan yang tidak senang kepada orang yang mendengarnya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.or.id




No comments:

Powered by Blogger.