Ads Top

Makan Daging Babi Secara Tidak Sengaja – Apa Perlu Dilakukan

Dr Yusof Al-Qaradhawiy melalui kitabnya al-Halal wa al-Haram fi Islam mengulas bahawa perkara ketiga yang diharamkan oleh Allah ialah daging babi. Ia adalah disebabkan oleh kotornya haiwan tersebut kerana mereka suka akan benda-benda yang kotor dan najis.

Ilmu perubatan moden telah membuktikan bahawa memakan daging babi boleh menyebabkan timbulnya mudarat dan bahaya kerana ia boleh menyebabkan lahirnya cacing kerawit dan ulat yang boleh membinasakan tubuhnya.

Seorang pakar kesihatan terkenal Amerika Syarikat, iaitu Dr Joseph Mercola telah melakukan kajian mengenai bahayanya daging babi kerana ia mengandungi bakteria berbahaya seperti Yersinia enterocoliticia yang boleh menyebabkan berlakunya banyak masalah kesihatan.

Banyak lagi hikmah pengharaman babi ke atas manusia sama ada yang disebut dalam dalil ataupun yang telah dibuktikan melalui kajian sains.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Mafhum: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah, 2:173)

Walau bagaimanapun, jika memakan daging babi secara tidak sengaja kerana tidak mengetahui status makanan tersebut, maka ia adalah tidak mengapa. Cukup dengan meminta ampun kepada tuhan. Tidak perlu memuntahkan isi perutnya atau menyamakkan tangannya.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pernah ditanya berkenaan isu ini. Bagaimana jika seseorang memakan daging babi kerana tidak tahu? Adakah akan ada dendanya yang tersendiri? Beliau menjawab:

ليس عليه شيء ما دام لا يعلم، ليس عليه شيء، إنما عليه أن يتمضمض ويغسل فمه من آثار النجاسة ويغسل يديه، والحمد لله. لكن إذا لم يتمضمض أو لم يذكر لحم خنزير إلا بعد حين ماذا يفعل؟ ج/ ما عليه شيء

Maksud: “Tidak ada kewajipan apa-apa baginya, selama ia memakannya kerana tidak tahu sedikit pun. Yang perlu ia lakukan adalah berkumur-kumur dan mencuci mulutnya dari sisa-sisa najis (daging babi) dan mencuci tangannya. Namun, jika memakannya pada waktu yang sudah berlalu lama sekali dan ia ketika itu tidak berkumur-kumur, apa yang perlu dilakukan? Jawabnya, tidak perlu melakukan apa-apa.”

Jumhur ulama bersetuju bahawa tiada denda yang perlu dilakukan kerana ia adalah dilakukan kerana tidak tahu dan bukan dengan sengaja.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.or.id




No comments:

Powered by Blogger.