Kuasa Doa, Berbicaralah Dengan Tuhanmu
Mengapa manusia perlu berdoa sedangkan Allah itu Maha Mengetahui setiap apa yang tersembunyi di hati hamba-hambaNya? Mengapa perlu menyusahkan diri untuk berdoa sedangkan Allah Maha Melihat akan apa yang berlaku kepada hambaNya?
“Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan.”
Allah sendiri yang menyuruh hambaNya untuk berdoa walaupun Dia Maha Mengetahui semuanya. Ia menunjukkan bukti kebergantungan manusia kepadaNya dan sebagai salah satu asbab untuk manusia lebih lebih dekat dengan pencipta.
Sewaktu kecil, anda jatuh dari basikal, muncul luka di kaki anda. Sebelum anda terfikir untuk berjumpa doktor, pasti anda akan meraung dan mencari ibu anda terlebih dahulu, bukan? Sedangkan anda tahu bahawa ibu anda hanya boleh menenangkan anda. Tetapi yang selayaknya merawat luka tersebut ialah doktor.
Mengapa? Kerana anda tahu ibu anda mampu memberi ketenangan kepada anda dan membuatkan perasaan sakit itu hilang sekejap dari pemikiran walau darahnya masih ada, walau kerisauan terhadap luka yang boleh mendatangkan jangkitan itu masih wujud.
Begitulah fitrah manusia. Mereka akan mencari sesuatu yang boleh menenangkan dahulu, barulah akan diikuti dengan pemikiran yang waras untuk berfikir mengenai penyelesaian terhadap sesuatu masalah.
Setiap orang dilanda masalah sama ada Islam atau bukan Islam. Ia adalah normal. Namun, buat manusia yang sentiasa percaya kepada Allah, mereka akan sentiasa mencari Allah di setiap waktu, bukan hanya apabila dilanda masalah tetapi juga apabila beroleh nikmat.
Hatinya membuak-buak untuk bercerita kepadaNya. Dalam nada yang sedih atau tersenyum pasti akan dicari tuhannya. Sama seperti anda selepas pulang dari sekolah, pasti hati anda membuak-buak perasaannya untuk bercerita perihal yang terjadi di sekolah kepada ibu anda. Begitulah analoginya apabila anda berasa tenang dengan seseorang.
Tuhan memberi nikmat atau ujian, salah satu sebabnya ialah untuk melihat sama ada manusia akan semakin menjauh atau mendekat kepadaNya. Apabila anda berdoa, ia menunjukkan anda semakin dekat dan menginginkan ketenangan. Yang kedua, anda akan meminta supaya Allah membuka jalan kepada masalah anda agar boleh diselesaikan dengan cara yang terbaik.
Doa Ialah Yang Paling Mulia
Berdoa tidak menjatuhkan maruah anda, bahkan berdoa meninggikan darjat anda. Doa itu sendiri adalah sebagai satu kemuliaan yang diberikan kepada hambaNya.
Berdoa menjadikan anda sebagai seorang yang rendah diri dan meletakkan hati untuk Allah. Atas setiap sesuatu, mintalah kepadaNya. Berceritalah seolah-olah anda sedang bercerita dengan seseorang yang memberikan anda ketenangan. Menangislah semahu-mahunya dalam doa seolah-olah anda mengharapkan sesuatu daripadaNya.
ليسَ شيءٌ أكرمَ على اللهِ تعالَÙ‰ من الدُّعاءِ
Maksud: “Tidak ada sesuatu yang paling mulia di sisi Allah melainkan doa.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 3370)
Doa itu adalah senjata orang-orang mukmin. Dengan doa, seseorang itu akan kurang tekanan kerana anda bercakap dan berbicara dengan Yang Maha Kuasa.
“Berdoalah dengan penuh terdesak kerana takdir akan menentukan.”
Tuntasnya, berbicaralah kepada pencipta anda melalui doa supaya beban masalah anda akan kurang.
No comments: