Ads Top

Hidup Adalah Masa Untuk Merantau

Dunia ini luas. Banyak lagi hal-hal yang boleh diterokai di muka bumi. Selagi masih punyai masa, pergilah merantau sebagaimana disebutkan dalam al-Quran:

“Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.” (Surah Al-Mulk 67:15)

Allah Menyarankan Manusia Untuk Mengembara Dan Mengambil Ibrah

Berdasarkan ayat yang diketengahkan dalam surah tersebut, jelaslah bahawa berjalan atau merantau amat disarankan. Setiap apa yang dijelaskan dalam al-Quran mempunyai hikmah dan pengajaran. Tidak bermaksud bahawa merantau itu mesti ke luar negara ataupun memerlukan kos yang tinggi.

Walaupun kita cuma merantau di tempat berdekatan mahupun dalam negeri sendiri, tetap tersimpan suatu nilai dan pengalaman yang berharga dengan merantau.

Antara hal utama yang pasti didapati apabila merantau adalah mengenali orang, tradisi dan budaya di sesuatu tempat. Perkenalan kepada suatu perkara baharu adalah sangat bernilai yakni sukar dirasai oleh orang lain.

Ada di antara mereka yang teringin sekali mengenali dan memahami masyarakat di negeri lain. Namun begitu, kita yang berpeluang untuk ke sana disebabkan menyambung pelajaran atau bekerja di tempat itu. Maka bersyukurlah dengan peluang tersebut. Pasti ada hikmah kita ditetapkan untuk berada di sesuatu tempat baharu.

Pengembaraan Akan Mematangkan Diri

Bukan itu sahaja, kita dapat mengenali diri sendiri. Memahami diri sendiri sebenarnya lebih susah. Kita perlu betul-betul faham apa yang kita mahukan dalam hidup. Dengan merantau, kita akan bebas dan minda lebih berfikiran terbuka kerana kita bebas dari pengaruh di sekeliling. Hal ini akan membantu kita untuk menganalisis impian yang hendak kita gapai.

Perjalanan dalam hidup ini sememangnya telah diatur cantik. Pelbagai budaya yang kita ketahui dan hayati sudah tentu mengajar kita banyak perkara. Ini termasuklah dari segi bahasa, makanan, pemakaian dan sebagainya.

Dengan elemen yang berlainan dan baharu akan mendatangkan idea mahupun persepsi bahawa masih banyak hal yang kita perlu ketahui di muka bumi ini. Malahan, ilmu baharu tentang sesuatu perkara adalah keseronokan yang tidak ramai manusia boleh dapatkannya.

Menuntut ilmu bukan sekadar membaca seberapa banyak buah buku. Dengan merantau sambil membawa minda juga dapat membuka peluang untuk meraih ilmu. Pembelajaran tetang berbagai-bagai hal termasuklah dari segi persahabatan, komunikasi dan banyak lagi.

Justeru, jangan takut untuk pergi ke suatu tempat baharu. Adalah lebih baik kita melihat keadaan di tempat itu sendiri daripada mendengar sahaja melalui mulut orang lain. Kita mesti mencuba untuk pergi ke tempat lain. Hal ini kerana, mungkin terdapat lebih banyak peluang apabila kita ke sana.

Mengembaralah, Namun Jangan Lupakan Kampung Halaman

Seorang penulis terkenal di Indonesia, Boy Candra iaitu penulis filem Tagah telah mengutamakan nilai merantau. Boy Candra mengatakan bahawa dalam Tagah, beliau mahu menyampaikan kegelisahan yang selama ini beliau simpan.

Beliau mengambil berat tentang kebanyakan anak muda seusia beliau yang pergi merantau. Seperti dinyatakan Boy Candra:

Anak muda di kampung lebih diperlukan. Beliau amat risau jikalau semua orang terutamanya anak muda merantau dan tak pulang-pulang. Kalau mereka tidak pulang, siapa yang akan membangunkan negeri mereka ini? Jika semua anak muda sibuk membangun kampung halaman orang lain, daerah mereka sendiri akan semakin tertinggal perlahan-lahan.

Merantau adalah mencari ruang untuk belajar pada zaman sekarang. Contohnya, meningkatkan status pendidikan atau bekerja untuk waktu tertentu. Kemudian, bergerak semula untuk pulang ke kampung.

Merantau dengan alam fikiran juga amat digalakkan. Maksudnya, kita tinggal di kampung tetapi menerapkan pengetahuan dan pola pemikiran dengan orang-orang di kota. Kita boleh menjadikan contoh dan mengikuti budaya orang kota lalu mempraktikkannya di kampung.

Dalam masa yang sama, percaturan Allah SWT itu Maha Hebat. Kita sama sekali tidak akan tahu-menahu apa yang bakal terjadi apabila kita pergi merantau. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa dengan pengembaraan ke sesebuah tempat telah menjadikan diri kita seseorang yang lebih baik dan bertambah matang menguruskan hidup.

Namun, jika ada ujian yang menimpa sepanjang waktu merantau, ambillah sebagai pengajaran. Kadangkala, kegagalan yang berlaku memiliki hikmah yang besar. Yakinlah dengan aturan Allah SWT serta jangan pernah berputus asa.

“Jangan takut gagal,
kerana yang tidak pernah gagal hanyalah
orang-orang yang tidak pernah melangkah.”
(Hamka)

Rasulullah SAW juga berhijrah. Kira-kira, hijrah juga adalah merantau. Semangat hijrah Baginda SAW boleh dijadikan sebagai peniup semangat bagi menyemarakkan sikap merantau demi mencari ilmu pengetahuan. Daripada peristiwa ini juga, Islam sesungguhnya memberikan motivasi kepada umatnya untuk berani berubah.

Justeru, sebagai umat Islam pada masa ini haruslah merantau atau berhijrah. Bukan sekadar fizikal yang pergi merantau tetapi bawa sekali minda dan jiwa. Jika pergi merantau, pasanglah niat sekali untuk beribadah. Moga dengan setiap langkah yang dilalui akan diberkati dan mendapat pahala.

Semoga Allah SWT membantu kita setelah melihat usaha kita semua untuk kembali kepada nilai Islam.
Oleh itu, ayuh merantau kerana sesungguhnya pasti ada sesuatu yang berharga menanti buat kita semua. Lebih-lebih lagi buat anak muda, keluarlah dari tempat tinggal dan pergilah mengembara. Kutip ilmu, pengajaran serta pengalaman sementara masih berpeluang menerokai dunia. Pergilah sejauh mungkin selagi hidup tetapi jangan lupa untuk pulang.




No comments:

Powered by Blogger.