Hadis Palsu Berkenaan Bulan Rejab
Rejab merupakan salah satu bulan haram kerana ia merupakan bulan yang dihormati. Perkataan Rejab berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud menguatkan sesuatu. Pada bulan ini, masyarakat Arab Jahiliah akan meninggalkan peperangan dan mengagungkannya.
Pada bulan ini juga, mereka akan membuat sokongan pada pokok-pokok kurma yang hampir tumbang. Mereka akan menjaga pohon kurma dengan baik agar boleh membuahkan hasil yang elok.
Menurut penjelasan yang telah diberikan oleh jumhur ulama di dalam Kitab Mawahib al-Jalil, bulan Rejab mempunyai hampir 16 nama dan antara yang terkenal ialah:
#1 – As-Ashom: Mereka meninggalkan peperangan.
#2 – Al-Ashob: Orang kafir Mekah percaya rahmat diturunkan kepada mereka.
#3 – Al-Mu’la: Kerana bulan ini mulia berbanding bulan-bulan yang lain.
#4 – Rajm: Kerana syaitan direjam padanya.
#5 – Al-Muqim: Kerana pengharaman terhadap bulan tersebut kekal.
Sering kita dengar, perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini kerana ia merupakan bulan yang mulia dan diganjarkan Allah pahala yang berlipat ganda buat mereka yang beramal pada bulan ini. Berpuasa pada bulan ini juga merupakan salah satu latihan untuk umat Islam menempuh bulan Ramadan.
Walau bagaimanapun, terdapat banyak hadis yang tidak sahih berkenaan dengan ganjaran dan kemuliaan bulan Rejab. Antaranya ialah:
#1 – فَضْلُ شَهْرِ رَجَبٍ عَلَى الشُّهُورِ كَفَضْلِ الْقُرْآنِ عَلَى سَائِرِ الْكَلَامِ
Maksud: “Kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan Al-Quran berbanding semua jenis kalam.” (lihat Kasyf Al-Khafa’, 85/2)
#2 – لَا تَغْفَلُوا عَنْ أَوَّلِ جُمُعَةٍ مِنْ رَجَبٍ فَإِنَّهَا لَيْلَةٌ تُسَمِّيهَا المَلَائِكَةُ الرَّغَائِب
Maksud: “Janganlah kamu lalai pada Jumaat yang pertama daripada bulan Rejab kerana sesungguhnya terdapat padanya satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai al-Raghaib.” (Lihat Al-Manar al-Munif, 95)
#3 – إِنَّ فِيْ الجَنَّةِ نَهْرًا يُقَالُ لَهُ رَجَب مَاؤُهُ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنَ العَسَلِ، مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَب سَقَاهُ اللهُ مِنْ ذَلِكَ النَّهْرِ
Maksud: “Bahawasanya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Barangsiapa yang berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai tersebut.” (Lihat Mizan al-Mu’tadil, 189/4)
#4 – مَنْ صَامَ أَوَّلَ يَوْمٍ مِنْ رَجَبٍ يَعْدِلُ ذَلِكَ بِصِيَامِ سَنَةٍ ، وَمَنْ صَامَ سَبْعَةَ أَيَّامٍ أُغْلِقَ عَنْهُ سَبْعَةُ أَبْوَابِ النَّارِ ، وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ عَشْرَةَ أَيَّامٍ نَادَىْ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ سَلْ تُعْطَهْ
Maksud: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari pertama bulan Rejab umpama berpuasa setahun. Barangsiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka dan barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab sepuluh hari diseru daripada penyeru dari langit bahawa mintalah lalu diberikan (apa yang diminta).” (Lihat al-Fath al-Rabbani, 3212/6)
Kesimpulan
Tuntasnya, beramal di bulan Rejab seperti berpuasa itu adalah perkara yang mulia dan tidak dilarang dalam agama. Walau bagaimanapun, jika beramal disebabkan oleh hadis palsu dan tidak sahih ganjarannya, maka ia adalah perkara yang salah.
Imam Al-Syaukani berkata – “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif.”
Oleh itu, tidak salah untuk melaksanakan amalan pada bulan ini selagi mana tidak beriktiqad (percaya) bahawa ia mempunyai kelebihan-kelebihan khusus.
No comments: