Ads Top

Ciri-Ciri Insan Cemerlang Menurut Surah Al-Mukminun

Al-Quran sudah banyak berbicara dan memberi panduan kepada kita mengenai cara untuk menjadi individu yang cemerlang. Panduan inilah yang seharusnya diikuti untuk membimbing kita ke arah kejayaan yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat nanti.

Antaranya, melalui surah al-Mukminun, Allah menyebutkan beberapa sifat orang mukmin yang akan mendapat kejayaan dan meraih syurga Firdaus.

#1- Orang Yang Khusyuk Dalam Solat

Antara sifat utama orang mukmin yang akan mendapat kejayaan adalah sebagaimana yang disebutkan Allah melalui surah Al-Mukminun ayat ke-2:

الَّذينَ هُم في صَلاتِهِم خٰشِعونَ

“(Iaitu) orang-orang yang khusyuk di dalam sembahyangnya”

Khusyuk di dalam solat adalah perkara pertama yang seharusnya ada dalam diri kita. Khusyuk dalam solat bukan bermaksud menggerakkan anggota badan semata-mata, malah hati dan pemikiran perlu fokus dan hanya tertumpu kepadaNya.

Berapa ramai orang yang solat namun sebenarnya mereka mencuri di dalam solatnya. Ia dilakukan dengan tidak bersungguh-sungguh dan dalam keadaan malas, terlalu banyak pergerakan anggota badan serta bacaan dalam solat yang tunggang-langgang.

Fikiran pula masih disibukkan dengan perihal dunia sehinggakan solat yang dilakukan menjadi kosong. Perlunya untuk kita menghadirkan rasa pengagungan dan kecintaan kepada Allah dengan menumpukan sepenuh hati hanya kepadaNya. Bait-bait bacaan dalam solat juga harus difahami dan diteliti.

#2 – Meninggalkan Perbuatan Yang Sia-Sia

Dalam ayat berikutnya Allah berfirman :

وَالَّذينَ هُم عَنِ اللَّغوِ مُعرِضونَ

Mafhum: “Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna”

Sifat yang kedua untuk menjadi orang mukmin yang berjaya ialah dengan menjauhkan dan meninggalkan perbuatan yang sia-sia. Ramai yang mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

Hakikatnya dunia hari ini dipenuhi dengan pelbagai perkara yang boleh melalaikan kita. Tetapi, Allah SWT menjanjikan kejayaan buat mereka yang mampu menahan diri daripada melakukan perkara yang sia-sia sama ada dari segi perbuatan mahupun perkataan.

Fitnah, cacian, hinaan serta ejekan juga sedang menjadi trend dan masyarakat tidak mengambil berat akan perlakuan tersebut.

Malah, aktiviti sebegini menjadi semakin rancak di media sosial. Manusia tanpa segan silu mengeluarkan kata-kata kesat dan saling menjatuhkan orang lain. Orang-orang mukmin yang berjaya ialah mereka yang meninggalkan perbuatan sedemikian, bahkan sentiasa menunjukkan akhlak-akhlak yang terpuji dalam setiap perkataan dan perbuatan yang dilakukan.

#3 – Orang Yang Membersihkan Harta

Dalam ayat berikutnya, Allah menjelaskan sifat orang mukmin yang ketiga iaitu:

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَوٰةِ فَٰعِلُونَ

Mafhum: “Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu)”

Zakat ialah pembersihan kepada diri sama ada dari segi harta mahupun jiwa. Orang yang berjaya ialah orang-orang yang menjaga kewajipan zakat harta dan jiwanya. Sentiasalah meringankan tangan untuk bersedekah dan memberi kepada orang lain.

Bersedekah tidak harus menunggu sehingga kita kaya, tetapi ketika kita merasa kekurangan. Ia merupakan waktu yang tepat untuk kita memberi.

Hal ini kerana, ia dapat menanamkan sifat ikhlas dan syukur melalui diri terhadap pemberian Allah sekali gus menunjukkan pemahaman kita terhadap rezeki yang datangnya daripada Allah SWT. Bukankah dengan bersyukur Allah akan menambahkan lagi nikmat kita?

Di samping itu, pembersihan jiwa juga harus dilakukan dengan membersihkan diri kita daripada segala sifat syirik dan mazmumah yang lain.

Usahakan sedikit demi sedikit untuk melakukan perubahan di dalam diri kita. Berusaha untuk meninggalkan satu persatu sifat-sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati. Tanamkan kesabaran, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah sebagai asas jati diri yang utama. Rendahkanlah diri dan sentiasa menuntut ilmu pengetahuan sepanjang masa.

#4 – Menjaga Kehormatan

Sifat keempat untuk menjamin kejayaan dan menggapai syurga ALlah ialah melalui firmanNya di dalam ayat keenam di dalam Surah Al-Mukminun ayat 5-6:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ

إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

Mafhum: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela”

Sifat orang mukmin yang keenam ialah mereka dapat menjaga kemaluannya kecuali buat yang halal baginya. Dewasa ini,kitaa melihat isu-isu perzinaan yang berlaku secara berleluasa. Malah, terdapat sgeelintir wanita yang menjadikan pelacuran sebagai kerjaya.

Zina boleh menimbulkan kesan buruk yang amat dahsyat sehingga menghasilkaan kes pembuangan bayi. Anak-anak ini tidak terjaga dan terbiar akan menimbulkan kekeliruan nasab keturunan lebih-lebih lagi apabila ibu bapa sendiri tidak mengakui hasil daripada hubungan tersebut.

Kes penceraian dan pergaduhan rumah tangga juga tidak kurang hebatnya. Justeru, mereka yang meninggalkan perbuatan tersebut adalah mukmin yang berjaya. Setiap manusia mempunyai nafsu syahwat dan ia adalah fitrah. Namun, nafsu tersebut perlu dikawal dan dijaga agar tidak menimbulkan fitnah.

Allah memberi kebebasan kepada hambaNya untuk mendatangi mereka yang halal baginya sahaja. Allah SWT sesekali tidak menghalang fitrah manusia yang memerlukan teman dan pendamping buat diri. Maka, teguhkan diri dengan ilmu agama dan dekatkanlah dengan orang-orang soleh yang mampu membimbing kita ke arah kebaikan dunia dan akhirat.

#5 – Menunaikan Amanah Dan Janji

Di dalam ayat berikutnya. Allah menjelaskan dua sifat orang mukmin di dalam satu ayat iaitu mengenai amanah dan janji:

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَٰنَٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ

Mafhum: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”

Untuk menjadi mukmin yang berjaya juga ialah dengan menjaga amanah dan janji yang dilafazkan. Ramai yang sanggup memikul amanah namun tidak ramai yang mampu menggalasnya dengan baik. Setiap dari kita mempunyai amanah yang harus diselesaikan dan yang paling utama ialah amanah untuk mengabdikan diri kepada Allah serta beribadah kepadaNya.

Sama ada sebagai anak, ibu bapa, pelajar, pekerja atau apa sahaja jawatan yang dipikul, ia perlu dilaksanakan mengikut cara dan tuntutan yang sepatutnya. Begitu juga dengan janji-janji yang dilontarkan perlu ditunaikan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW ada menyebut tentang sifat-sifat orang munafik iaitu:

“Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)”

#6 – Cakna Akan Solat

Ayat ke-9 surah al-Mukminun menjelaskan sekali lagi bahawa solat merupakan ibadah utama dan harus diambil cakna. Solat ialah tiang agama. Bagi sesiapa yang meremehkan solatnya, seolah-olah dia telah meruntuhkan agamanya. Allah berfirman:

وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Mafhum: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.”

Dalam ayat ini, Allah menjanjikan kejayaan buat orang-orang mukmin yang menjaga dan memelihara solatnya. Apakah sebenarnya maksud memelihara solat ini? Solat yang dikerjakan haruslah konsisten dan ditunaikan pada waktu yang tepat serta tidak dilengah-lengahkan.

Memelihara solat juga haruslah dilihat melalui kesempurnaan rukun dan kewajipan solat semasa mengerjakannya bermula dari kita mengambil wuduk sehinggalah ke akhirnya. Laksanakanlah solat-solat sunat sebagai ibadah tambahan yang melengkapi solat-solat wajib tersebut. Begitu juga dengan zikir-zikir selepas solat yang amat penting untuk diketahui, dipelajari serta difahami.

Ayuh kita tumpukan sepenuh hati dan jiwa pada ayat di dalam surah al-Mukminun yang berikutnya, iaitu pada ayat ke-10:

أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ

الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdausi; mereka kekal di dalamnya.”

Kesimpulan

Tuntasnya, Allah memberi jaminan kepada kita bahawa orang yang mengerjakan semua kebaikan akan mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalamnya buat selamanya. Tiada yang utama daripada jaminan yang diberikan Allah SWT kepada kita. Allah juga melayakkan kita untuk menempah tiket di syurga yang tertinggi iaitu syurga Firdaus. Maka, tidakkah lagi kita mahu untuk terus berusaha menggapai kejayaan yang dijanjikan ini?




No comments:

Powered by Blogger.