Ads Top

Bolehkah Orang Bukan Islam Memasuki Masjid

Terdapat sebuah kisah tentang Jubair bin Muth’im RA yang pernah menyiapkan tebusan untuk tawanan perang Badar. Beliau ketika itu belum memasuki Islam dan masih lagi musyrik. Beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي الْمَغْرِبِ بِالطُّورِ

Maksud: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW dalam solat Maghrib membaca Surah At-Thur.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 765)

Melalui peristiwa ini, beliau telah terbuka hati untuk memeluk Islam. Diceritakan bahawa beliau mendengar suara Baginda SAW ketika berada di dalam masjid.

Kisah ini dan beberapa kisah lagi telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah melarang kaum musyrikin daripada memasuki rumah Allah selagi tujuan dan niat mereka adalah bukan untuk memerangi atau menghina Islam.

Hari ini kita melihat banyak masjid dan surau dibuka kepada umum. Seperti yang telah dilakukan oleh kebanyakan masjid di Malaysia, mereka akan menyediakan pakaian khusus untuk dipakai jika pakaian asalnya tidak menepati syariah.

Contohnya, bagi orang bukan Islam, jika mereka ingin melawat atau memasuki masjid, maka mereka perlu memakai pakaian yang mengikut syariat. Ia bukan sahaja tertakluk kepada golongan bukan Islam, bahkan semua.

Sungguhpun begitu, masih wujud mentaliti bahawa masjid hanyalah milik umat Islam sahaja.

Jadi, persoalannya di sini ialah, apakah hukum sebenar golongan bukan Islam memasuki masjid sama ada untuk tujuan lawatan atau mungkin juga untuk belajar perkara baru tentang Islam?

Para ulama berbeza pendapat mengenai situasi ini dengan mengeluarkan hukum sama ada ia adalah perbuatan yang dilarang dan ada yang bersetuju bahawa dibolehkan.

#1 – Tidak Boleh Memasuki Masjid

Imam Al-Nawawi, Umar Abdul Aziz, Qatadah, Imam Malik, Imam Al-Buhuti daripada Mazhab Hanbali dan sebahagiannya lagi menyebutkan bahawa haram hukumnya bukan bagi orang Islam memasuki masjid.

Mereka berpendapat demikian kerana golongan bukan Islam sentiasa berada dalam keadaan hadas dan berjunub.

Bahkan, pernah diriwayatkan melalui Kitab Mathalib Uli al-Nuha (2/617) bahawa, Ali bin Abi Talib pernah menghalau seorang majusi yang memasuki masjid.

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Mafhum: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk).” (Surah At-Taubah, 9:18)

Sebahagian ulama memahami bahawa ayat di atas merujuk kepada semua masjid yang ada. Sebahagian pula menafsirkan ia sebagai Masjidil Haram sahaja.

#2 – Harus Memasuki Masjid

Manakala Imam Bukhari, Imam Abu Hanifah dari Mazhab Hanafi, Imam Dusuqi dari Mazhab Maliki, Imam Fakhruddin al-Razi dan Imam Syafi’e dari Mazhab Syafi’e menyebutkan bahawa harus hukumnya membenarkan golongan bukan Islam untuk memasuki masjid.

Walau bagaimanapun, mereka perlu mengikut beberapa syarat yang ditetapkan dan bukan untuk menghina atau merosakkan rumah Allah.

Tujuan memasuki masjid (lawatan) perlulah mendapat kebenaran orang Islam atau penjaga masjid dan mempunyai tujuan yang baik. Etika pemakaian juga perlu dijaga dan dipastikan kebersihannya agar boleh mengelakkan daripada timbulnya fitnah.

Dalil keharusannya adalah berdasarkan kisah Jubair bin Muth’im yang dinukilkan di atas.

Adapun, majoriti ulama mengharamkan orang bukan Islam daripada memasuki Masjid Al-Haram sahaja. Ini adalah berdasarkan pendapat yang dinukilkan oleh Imam Al-Qurthubi, Ibn Hazm dan Imam Nawawi.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـٰذَا

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haram sesudah tahun ini.” (Surah At-Taubah, 9:28)

Ayat ini diturunkan selepas tahun ke-sembilan Hijrah bagi melarang golongan bukan Islam daripada menghampiri apatah lagi memasuki Masjid Al-Haram.

Kesimpulan

Menurut pendapat yang dipersetujui umum, harus hukumnya golongan bukan Islam memasuki masjid kecuali Masjidil Haram. Pandangan ini adalah lebih tepat. Adapun, jika syarat dan peraturan masjid tersebut yang melarang daripada mereka memasuki masjid, maka itu perlu dipatuhi bagi menjaga kemaslahatan ummah.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.or.id




No comments:

Powered by Blogger.