Ads Top

Ali Tuntut Aliff Syukri Bertaubat, Mohon Maaf Pada Ibunya

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri diminta bertaubat kerana telah berjaya memecah belahkan dua buah keluarga yang kini menjadi cemuhan masyarakat.

Menurut adik arwah Abam,  Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, dia memohon agar Aliff tampil memohon maaf kepada ibunya, Sabariah Arshad berhubung perkara tersebut.

Ali menambah dia berasa kecewa kerana usahawan itu terlebih dahulu menyiarkan rakaman video bersama kakak iparnya, Nor Hidayah Mohd Ali tanpa mendapatkan kenyataan daripada keluarga arwah Abam terlebih dahulu.

“Bertaubatlah (Aliff Syukri), kau pecah belahkan keluarga orang. Kau pun akan mati (satu hari nanti). Apa perasaan kau kalau anak-anak kau berebut harta juga nanti.

“Arwah abang saya baharu sahaja pergi, dah timbul cerita begini. Saya nak berpesan pada Datuk Aliff, datanglah minta maaf pada ibu saya.

“Niat dia (Aliff) datang nak bagi sumbangan itu dah baik tapi bila dia bertanyakan tentang hal keluarga kami itu adalah sangat tidak adil kepada balu dan kami sebagai ahli keluarga arwah,”

“Tentang kakak ipar saya pula, kenapa perlu diceritakan tentang aib keluarga kepada orang luar.

“Katakanlah Hidayah tak tahu benda itu direkod, tapi kenapa perlu diceritakan, itukan aib kami sekeluarga,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media khas yang diadakan di The Port Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ali dengan rendah diri memohon maaf kepada kakak iparnya di atas keterlanjurannya memanggil wanita itu berhati binatang seperti yang dimuat naik di Instagramnya sebelum ini.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada Hidayah di atas keterlanjuran saya. Saya pun sudah tarik balik kenyataan itu di media sosial.

“Saya juga dah maafkan semua pihak yang mencerca saya di atas kesilapan itu.

“Biasalah hati tengah marah, saya pula tengah serabut pada ketika itu bila tengok banyak mesej masuk di IG yang mencerca dan mengata saya makan harta anak yatim, itu semua dusta belaka,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ali dikecam warga net kerana menghina kakak iparnya secara terbuka di media sosial selepas penyebaran sebuah video temu bual Aliff bersama Hidayah diperkatakan umum.

Isi video itu menyebut ahli keluarga arwah Abam tidak membenarkan Hidayah menggunakan kenderaan milik arwah selain kad bank juga disimpan oleh Ali dan kakak sulung arwah.

Mengulas mengenai perkara itu, Ali menjelaskan selaku ahli keluarga mereka mahu menyelesaikan isu itu satu persatu sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

“Mengenai isu kereta, pihak pakcik saya akan menyerahkan kereta kepada Hidayah dalam masa terdekat kerana itu memang niat arwah untuk menghadiahkan kereta Myvi itu kepada isterinya.

“Pihak keluarga memang akan uruskan satu persatu urusan harta arwah. Tidak logik untuk kami selesaikan semuanya sedangkan arwah baharu sahaja meninggal dunia. Benda-benda ini semuanya perlukan masa,” ulasnya lagi.

Arwah Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas dua hari memgalami demam panas.

Arwah meninggakan seorang balu, Nor Hidayah Mohd Ali dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah yang kini berusia lapan bulan. – KopiPlanet.com

The post Ali Tuntut Aliff Syukri Bertaubat, Mohon Maaf Pada Ibunya appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.