Ads Top

Akui Penakut, Filem Jodoh Syaitan Cabar Diri Aprena Manrose

Pelakon Aprena Manrose mengakui dirinya seorang yang penakut namun disebabkan ingin mencabar diri, dia tidak teragak-agak untuk menjayakan watak dalam filem Jodoh Syaitan.

Memegang watak sebagai seorang wanita misteri, Aprena menyifatkan pengalamannya berlakon di bawah arahan Ismail Bob Hasim sesuatu yang menyeronokkan.

“Saya gembira apabila diberi peranan watak seorang pontianak memandangkan belum pernah melakonkan watak sebegini.

“Tidak dinafikan ia memberikan cabaran tersendiri memandangkan saya sendiri seorang yang penakut. Jadi, saya kena betul-betul jadi berani untuk menjayakan watak yang diberikan ini.

“Alhamdulilah, penerbit sendiri iaitu arwah abang Assey banyak berikan keyakinan. Tanpa arwah, mungkin saya tidak akan terbabit dalam filem Jodoh Syaitan.

“Lagipun saya tidak perlu menjalani sesi casting untuk filem ini dan semuanya telah dipermudahkan. Saya anggapi ia satu rezeki yang tidak dijangka sebagai pelakon baharu,” katanya.

Jodoh Syaitan yang diterbitkan oleh Da Mation Media merupakan hasil idea penerbitnya, Allahyarham Datuk Mokharul Shamsul Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Assey.

Menurut pengarahnya, Ismail Bob, ketika ditawarkan untuk mengarahkan filem ini, pada mulanya dia menolak pelawaan tersebut kerana mahu memberikan fokus terhadap kerja-kerja yang lain terlebih dahulu.

““Apabila kami berjumpa lagi dan arwah memujuk saya. Kemudian saya letakkan syarat bahawa saya tidak menjanjikan sebarang keuntungan atau pulang modal untuk menghasilkan filem ini dan arwah bersetuju.

“Kemudian ketika saya tanya filem apa yang ingin dihasilkan, arwah memberitahu dia mahu menghasilkan filem seram komedi memandangkan ia antara genre yang cukup digemari penonton,” ujarnya yang sudah mengarahkan 17 buah filem setakat ini.

Filem bergenre seram komedi yang bakal ditayangkan bermula 5 Mac ini turut dibintangi Sofi Jikan, Allahyarham Abam Bocey, Jay Iswazir, Kamarool Hj Yusoff dan Fauziah Nawi. – KopiPlanet.com

Sinopsis Jodoh Syaitan:

Filem Jodoh Syaitan mengisahkan tentang Megat, seorang pemuda kampung yang sering menemui kegagalan dalam percintaan dan diminta ibunya, Mak Timah untuk pulang ke kampung kerana ingin mengahwinkannya dengan seorang gadis bernama Mawar.

Pada masa sama, Tok Salleh bersama dua pengikut setianya yang juga kawan Megat di kampung iaitu Awang dan Kulup sedang sibuk mencari mayat untuk dipaku, dengan harapan ia hidup semula untuk dijadikan isteri kepada Tok Chai bagi
memenuhi hawa nafsunya.

Apakah yang akan terjadi seterusnya, jangan lupa saksikan filem Jodoh Syaitan di pawagam seluruh negara pada 5 Mac 2020. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.