Siapakah Sebenarnya Imam Mahdi?
Mahdi berasal daripada perkataan ‘huda’ yang bererti petunjuk. Justeru Mahdi secara umumnya bermakna orang yang diberi petunjuk.
Istilah mahdi ini juga pernah dirujuk kepada para khalifah yang empat seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali bin Abi Talib kerana mereka adalah golongan yang mendapat petunjuk kebenaran.
Selain itu menurut Ibnu Atsir, Al-Mahdi juga bermakna orang yang disebutkan oleh Rasulullah SAW yang akan muncul di akhir zaman. Inilah yang akan dibincangkan pada artikel kali ini.
Asal Usul Imam Mahdi
Imam Mahdi berasal daripada keturunan Nabi Muhammad SAW, melalui jalur cucu baginda iaitu Hassan. Beliau hidup pada zaman setelah Nabi Isa turun kelak dan di masa keluarnya Dajjal.
Ibnu Qayim rahimahullah pernah mengatakan bahawa hadis-hadis yang menceritakan tentang Imam Mahdi sangat pelbagai – sesetengahnya bertaraf sahih dan hasan. Namun ada juga hadis yang dinilai ghorib bahkan palsu.
Penting untuk kita menilai terlebih dahulu sesetengah cerita yang disebarkan oleh banyak orang di media sosial berkenaan hal ini.
Sekarang mari kita teliti pendapat-pendapat yang ada berkenaan Imam Mahdi.
Pendapat pertama, mengatakan bahawa Imam Mahdi adalah Nabi Isa. Golongan yang memegang pendapat ini menggunakan hadis daripada Muhammad bin Kholid al-Jundi, sedangkan hadis tersebut dikatakan tidak sahih.
Pendapat kedua, Imam Mahdi adalah pemimpin pada masa Bani Al-Abbas. Walau bagaimanapun masa tersebut sudah berlalu.
Ibnu Qayyim mengatakan bahawa pemimpin ketika itu juga memang seorang mahdi kerana dia diberi petunjuk namun bukan mahdi yang dimaksudkan oleh Nabi SAW yang akan muncul di akhir zaman.
Pendapat ketiga, Imam Mahdi adalah seorang yang berasal daripada keturunan Nabi SAW, iaitu daripada keturunan cucu baginda, Hassan bin Ali. Beliaulah sosok pemimpin yang akan datang di akhir zaman membawa semula keadilan dan keamanan, di saat kezaliman dan kekacauan berleluasa.
Tambah Imam Ibnul Qayyim lagi, golongan Syiah Al Imamiyyah pula mempunyai pendapat yang sedikit berlainan.
Mereka berpendapat bahawa Imam Mahdi yang akan datang nanti adalah dari jalur keuturunan Husain bin Ali dan bukan Hassan.
Apa yang tidak menjadi pertikaian adalah Imam Mahdi memiliki nama yang sama dengan Nabi Muhammad SAW iaitu Muhammad bin Abdullah.
مِنْ أَهْلِ بَيْتِى يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِى وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِى
“Dia berasal dari keluargaku. Namanya (iaitu Muhammad) sama dengan namaku. Nama ayahnya (yaitu ‘Abdullah) pun sama dengan nama ayahku. (HR Abu Daud, no. 4282 – hadis ini dinilai hasan sahih oleh Imam Al-Albani)
Imam Ibnu Kathir mengatakan bahawa gelaran namanya adalah Muhammad bin Abdullah Al ‘Alawi (keturunan Ali bin Abu Tholib) Al Fatimiy (keturunan Fatimah binti Muhammad) Al Hasaniy (keturunan Hasan bin Ali).
Gambaran Sifat Fizikal Imam Mahdi Melalui Hadis
Tidak banyak gambaran fizikal yang diceritakan dalam hadis. Yang diketahui bahawa beliau memiliki dahi yang lebar dan hidung yang mancung.
Dari Abu Sa’id Al Khudri, Nabi SAW bersabda,
الْمَهْدِىُّ مِنِّى أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ
“Imam Mahdi adalah keturunanku. Dahinya lebar (atau rambut kepala bahagian depannya tersingkap) dan hidungnya mancung.” (HR Abu Daud, no. 4285 – Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan)
Dari Abu Sa’id Al Khudri, Rasulullah SAW bersabda,
الْمَهْدِىُّ مِنِّى أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ
“Imam Mahdi berasal dari keturunanku. Beliau memiliki dahi yang lebar dan hidung yang mancung. Di masanya, akan tersebar keadilan di muka bumi, sebagaimana sebelumnya penuh dengan kezaliman dan penindasan. Beliau akan berkuasa selama 7 tahun.” (HR Abu Daud, no 4285 – Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan)
Misi Imam Mahdi
Diceritakan bahawa Imam Mahdi akan muncul dari arah timur iaitu dari sebelah bahagian Arab, seterusnya akan memerintah selama 7 atau 9 tahun sehingga dunia menjadi aman. Keadilan akan tersebar sehingga berjaya mewujudkan kehidupan yang makmur.
Allah juga akan menjadikan bumi subur, binatang ternakan akan semakin banyak malah umat juga akan bertambah ramai.
Setelah itu Nabi Isa akan turun dan disambut oleh Imam Mahdi serta umat Islam. Turunnya Nabi Isa bukan untuk memimpin umat Islam kerana umat ini akan dipimpin oleh Imam Mahdi – namun untuk menyelesaikan misi terakhir iaitu menghapuskan Dajjal, ujian terakhir buat manusia seluruhnya sebelum tibanya hari kiamat. Wallahua’lam.
No comments: