Sejarah Air Zamzam Untuk Menghilangkan Haus Nabi Ismail
Air zamzam telah muncul ketika zaman Nabi Ismail lagi. Ketika itu Nabi Ismail masih kecil. Nabi Ibrahim mendapat perintah daripada Allah SWT supaya meninggalkan anaknya Nabi Ismail bersama isterinya Siti Hajar di sebuah kawasan padang pasir.
Disebabkan baginda yang merengek kerana kehausan, Siti hajar telah berusaha mencari air di kawasan sekitar, iaitu antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.
Nabi Ibrahim tidak meninggalkan isteri dan anaknya dengan sengaja kerana ia merupakan perintah daripada Allah SWT. Kisah ini ada diceritakan melalui surah Ibrahim.
Menurut kisah yang telah dinukilkan melalui beberapa riwayat dalam Sahih Al-Bukhari, Nabi Ibrahim telah meninggalkan mereka berdua di bawah pohon yang merupakan lokasi kepada telaga zamzam hari ini.
Mekah yang pada asalnya bukan kawasan yang subur, tidak berpenghuni dan tiada sumber air membuatkan baginda berat hati untuk meninggalkan mereka.
Walau bagaimanapun, mereka akur dengan perintah tersebut. Hajar seorang wanita yang sangat kuat. Beliau tidak sanggup melihat anaknya menangis dan meraung disebabkan kelaparan. Oleh itu, beliau sanggup berjalan di kawasan sekitar bagi mencari sumber air atau apa-apa sahaja yang boleh dijadikan sebagai alas perut.
Dikatakan melalui beberapa riwayat bahawa, beliau telah berlari-lari anak dari Bukit Safa hingga ke Bukit Marwah sebanyak tujuh kali bagi mencari air. Sehinggalah pada akhirnya keluarlah air zamzam bagi menghilangkan kehausan mereka.
Air zamzam atau nama lainnya juga ialah air safiyah, thahirah, syifa’u suqmin dan banyak lagi air merupakan air yang mempunyai banyak khasiat dan kelebihannya yang tersendiri. Mengikut para ulama, zamzam mempunyai lebih daripada 50 nama bagi membuktikan sifat dan kemuliaannya itu.
Yang paling utama ialah, ia merupakan air kurniaan dari syurga kepada Nabi Ismail AS dan merupakan tanda kemuliaan Mekah.
Air zamzam bukan sahaja digunakan untuk menghilangkan dahaga Nabi Ismail dan ibunya, namun pernah digunakan untuk mencuci hati Nabi SAW (hadis riwayat Bukhari, no. 1636) sebelum peristiwa Israk dan Mikraj.
Terdapat satu riwayat yang panjang menceritakan tentang bagaimana punca air zam-zam muncul.
Maksud: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pun pergi menuju ke Bukit Safa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya.
Pandangannya diarahkan ke lembah sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seorang pun. Setelah itu, dia pun turun (dari Bukit Safa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah bukit, iaitu Bukit Marwah. Lalu dia berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana tetapi juga tiada sesiapa di sana.
Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah Saie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu.” Ketika dia sampai di Puncak Bukit Marwah, dia terdengar satu suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!” Dia cuba mendengarnya lagi, lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah memperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?” Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zam-zam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air kluar memancar.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 3364)
Sedangkan riwayat yang menceritakan bahawa punca air mata zam-zam muncul kerana hentakan kaki Nabi Ismail adalah tidak tepat dan merupakan riwayat yang palsu. Wallahua’lam.
Sumber:
Mufti Wilayah
No comments: