Ads Top

Kurangkan Beban Fikiran Anda Dengan 3 Tips Mudah Ini

Adakah anda mempunyai barangan yang usianya sudah bertahun lama? Barang itu pula sudah tidak berguna, namun anda masih menyimpan dan sayang untuk membuangnya.

Begitulah juga fikiran kita.

Kadang kala ada perkara yang sudah lama menghuni fikiran, dan ia tidak lagi berguna bahkan membebankan. Namun, akhirnya anda tetap perlu ‘mengemas’ ruang fikiran supaya ada perkara baru yang boleh masuk mengisinya.

Ayuh, kita cuba ‘mengemas’ fikiran dengan melakukan tiga tips di bawah.

#1- Biarkan Minda Anda Berehat

Kajian mendapati bahawa ‘bekerja kuat’ bukan bermakna bekerja secara bijak. Kadang kala kehidupan menjadi tidak seimbang dek kerana salah satu aspek dalam kehidupan menjadi fokus lebih utama berbanding hal-hal lain – contohnya kerja lebih diutamakan sehingga tidak mendapat rehat yang cukup dan masa makan yang tidak teratur.

Ambil masa untuk membiarkan minda anda bertenang. Anda boleh meluangkan masa sekejap untuk berjalan kaki mengambil udara segar, menelefon rakan atau ibu bapa, ambil masa untuk ‘quick nap’ atau tidur sebentar. Anda juga boleh menonton cerita atau rancangan yang ada unsur lucu bagi memberi ruang kepada minda untuk relaks.

#2- Terima Pujian Dan Lupakan Kritikan

Cukup senang untuk kita terjatuh ke dalam pola pemikiran negatif hasil daripada kritikan yang diterima daripada orang lain.

Namun adalah menjadi suatu kerugian jika kita hanya memilih untuk mengingati bahagian negatif sahaja, sedangkan masih ada banyak pujian dan kata-kata positif yang kita terima dalam hidup.

Belajar melihat kritikan daripada kaca mata yang lebih terang. Tukarkan kritikan kepada azam untuk menjadi lebih baik. Kita tidak harus selamanya hidup dengan kritikan orang. Beri peluang kepada diri untuk lebih percaya.

#3- Peruntukkan Hanya Masa Yang Spesifik Untuk Risau

Sebagai manusia biasa, kita akan cepat risau dengan banyak perkara – tidak cukup duit kerana kereta rosak pada bulan ini, tentang kerja yang hampir kepada tarikh akhir, tentang berat badan yang semakin naik, tentang kucing jiran sebelah yang selalu sahaja berak di kawasan rumah dan bermacam-macam lagi.

Pendek kata, jika disuruh untuk menyenaraikan apa perkara yang anda risaukan, anda boleh menyenaraikan 1001 macam lagi perkara yang dirisaukankan atau yang mengganggu fikiran.

Tanpa sedar, risau tentang perkara-perkara yang tidak perlu seperti ini sebenarnya menyerap tenaga anda lebih-lebih lagi dari sudut emosi dan mental. Lebih teruk lagi jika anda kerap pula overthinking.

Apa yang boleh anda buat untuk mengawal hal ini? Caranya adalah dengan memperuntukkan masa yang khusus sahaja untuk risau.

Katakan pada diri sendiri bahawa anda hanya boleh risau dalam masa sekian-sekian sahaja, dan anda tidak boleh risau lagi selepas itu. Atau apabila fikiran anda mula menerawang memikirkan perkara yang tidak-tidak, katakan pada diri bahawa itu bukan masanya lagi untuk risau atau rasa terganggu.

Contoh:

“Aku hanya ada masa 15 minit sahaja, bermula sekarang, untuk risau atau terganggu dengan perkara ini.”

Cara ini dapat mengawal fikiran daripada terjatuh ke dalam pola pemikiran negatif, yang sekaligus membuat anda terganggu sepanjang hari.

Kesimpulan

Fikiran seperti rumah atau bilik yang perlu dikemas dari semasa ke semasa. Usah biarkan ia bersepah dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Minda yang sentiasa sihat dan positif akan berhasil memberi kesan yang positif juga pada badan dan tindakan, sekaligus menjadikan hidup anda lebih tenang dan lapang.




No comments:

Powered by Blogger.