Tahun Baru Lunar Sebagai Salah Satu Perayaan Adat
Perayaan Musim Bunga atau Tahun Baru Lunar adalah sebuah perayaan utama dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia dan seluruh dunia. Seluruh rakyat Cina yang beretnik Cina akan merayakannya dari segi kebudayaan dan keagamaan berdasarkan adat resam yang telah diraikan sejak dulu lagi.
Ia akan diraikan dengan penuh kemeriahan dan biasanya rumah-rumah mereka akan dihiasi dan dipenuhi dengan pelbagai hiasan yang boleh melambangkan kegembiraan, keamanan dan juga keberuntungan seperti dalam bentuk tulisan perkataan Cina dalam bentuk kaligrafi pada kertas merah.
Pada musim inilah anda akan mendapat banyak limau mandarin. Ia sinonim dengan perayaan ini kerana ia melambangkan limpahan kekayaan.
Diceritakan melalui tulisan-tulisan sejarah bahawa sejarah Tahun Baru Cina ini bermula apabila seekor makhluk ganas bernama Nian yang membuat huru-hara di Tanah Besar China. Mereka berikthiar untuk menghalau makhluk ini dengan cuba menakutkannya. Mereka melempar reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api pada siang dan malam sehinggalah makhluk itu pergi.
Bermula daripada itu, mereka mula merayakannya dengan meriah dan memakai pakaian tradisi mereka seperti cheongsam dan memasang tanglung.
Yang paling menarik ialah, mereka akan membuat jamuan pertemuan semula dan menjamu ahli keluarga dengan hidangan yang mewah yang terdiri daripada ikan. Ang pau juga akan diberikan kepada ahli keluarga (muda) yang belum berkahwin dan bilangan duit tersebut menentukan cermin tuah dan kehormatan.
Ucapan ‘Xin nian kuai le’ (Selamat Tahun Baru Cina) merupakan ucapan kontemporari kepada sesama mereka. Berbeza dengan ucapan yang diucapkan di bahagian utara China pula ialah ‘Guo nian hao’ (dapat hidup dalam keadaan baik). Namun, yang sering kita dengar ialah ‘Gong xi fa chai’ yang membawa maksud tahniah dan semoga mendapat rezeki.
Islam Tidak Melarang Meraikan
Menurut pandangan yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, perayaan ini merupakan sebuah perayaan adat dan tiada kaitan dengan permasalahan akidah kerana ia disambut mengikut kalendar lunar cina semata-mata.
Dibolehkan untuk mengucapkan ‘gong xi fa chai’ kepada kawan atau mereka yang meraikan perayaan ini. Begitu juga boleh untuk menghadiri undangan perayaan ini, namun perlu dijaga batas-batas agama seperti;
#1 – Tiada hiburan yang melampau dan mengandungi unsur maksiat
#2 – Mengelakkan hidangan yang haram seperti arak
#3 – Memakai pakaian yang mematuhi syarak
#4 – Menjaga akhlak dan tidak menyentuh sensitivi masyarakat Islam.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: