Kisah Pemuda Yang Diampunkan Dosa Kerana Memberi Anjing Minum
Umat Islam dituntut berbuat baik bukan sahaja kepada sesama manusia tetapi kepada sekeliling sama ada kepada haiwan ataupun alam sekitar.
Slogan ‘Sayangi Alam Sekitar’ atau ‘Selamatkan Penyu’ dan pelbagai lagi yang sering kita dengar mungkin sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada kita bahawa bukan manusia sahaja yang bernafas di atas muka bumi ini tetapi kita berkongsi udara dengan makhluk lain juga.
Tidak sia-sia bahkan kita akan diganjari pahala dan keberkatan di atas perbuatan baik itu. Jika anda bukan penggemar alam atau haiwan sekali pun, berusaha untuk membantu mereka dengan cara lain berdasarkan kemampuan anda. Tidak menyakiti mereka juga merupakan salah satu cara untuk membantu mereka.
Pernah diriwayatkan mengenai kisah umat terdahulu yang berbuat baik kepada binatang dan alam sekitar seperti kuda, ikan dan juga anjing.
Mungkin anda pernah terdengar kisah mahsyur yang melibatkan seorang wanita pelacur yang diampunkan dosanya kerana berbuat baik kepada anjing. Kisah mahsyur ini menceritakan bahawa dia memberikan minuman kepada anjing yang haus. (Hadis Riwayat Muslim, no. 2245)
Bahkan, terdapat riwayat lain juga mengenai seorang pemuda yang memberi minum anjing yang haus dan diampunkan dosanya, iaitu:
بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي، فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ العَطَشُ، فَنَزَلَ بِئْرًا، فَشَرِبَ مِنْهَا، ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَقَالَ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي، فَمَلَأَ خُفَّهُ، ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ، ثُمَّ رَقِيَ، فَسَقَى الكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ، فَغَفَرَ لَهُ “، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي البَهَائِمِ أَجْرًا؟ قَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Maksud: “Terdapat seorang lelaki yang sedang berjalan lalu dia berasa haus, maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: “Anjing ini kehausan seperti mana aku alami sebentar tadi. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah maka Allah pun mengampuninya.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah bagi kami ganjaran kami berlaku baik pada haiwan?” Baginda SAW bersabda: “(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2363)
Berdasarkan kisah-kisah ini mungkin sedikit sebanyak boleh memberi inspirasi untuk anda melakukan kebaikan kepada haiwan. Tidak perlu melakukan kebaikan ini bagi membuktikan keislaman anda, sebaliknya lakukan ia atas nama kemanusiaan dan ihsan terhadap sekeliling.
Wallahu a’alam
No comments: