Kata-Kata Umar Al-Khattab Mengenai 3 Sukan Kegemaran Baginda SAW
Setiap orang pasti mempunyai sukan kegemaran mereka sama ada bermain bola sepak, badminton mahupun berenang. Begitu juga dengan Baginda SAW. Baginda dikatakan amat gemar memanah dan berkuda malah turut menganjurkan umatnya untuk mempelajari seni sukan tersebut.
ارْمُوا وَارْكَبُوا
Maksud: “Lemparkanlah (panah) dan tungganglah (kuda).” (Hadis Riwayat Tirmidzi, no. 1637)
Banyak kebaikan yang boleh diperoleh buat mereka yang gemar memanah terutamanya untuk melatih si pemanah itu sentiasa dalam keadaan tenang untuk melepaskan anak panahnya. Dalam realiti kehidupan, manusia perlu berfikiran rasional dan tidak panik untuk mengambil sesuatu keputusan.
Di sinilah memanah mengajar kita untuk lebih bersabar dan fokus dalam apa jua yang dilakukan agar setiap perjalanan hidup kita adalah berlandaskan keputusan yang rasional untuk mendapatkan sasaran yang baik.
Selain daripada dapat membantu meningkatkan kecerdasan mental, ia juga boleh membantu membina kekuatan otot saat melakukan latihan dengan betul.
Sebelum memanah, si pemanah akan memasang tali pada busur tersebut begitu juga selepas menggunakannya, perlu ditanggalkan terlebih dahulu tali tersebut. Tangan dan jari seseorang juga akan menjadi lebih kuat dan fleksibel selain membantu mata untuk lebih fokus terhadap sasaran.
Berkuda, berenang dan banyak lagi sukan yang pernah anda dengar, setiap satunya pasti mempunyai kelebihan tersendiri yang akan membantu anda untuk lebih kuat fizikal dan cerdas akalnya.
Hadis Lemah Yang Sering Diucapkan
Walau bagaimanapun, entri kali ini bukanlah untuk membahaskan lebih lanjut mengenai kelebihan ataupun kebaikan beriadah kerana sudah tentu anda sendiri sudah terdedah akan kelebihan yang sering disebut-sebut oleh guru di sekolah ataupun internet.
Namun, berikutan dengan sukan kegemaran Baginda SAW, tular sebuah hadis yang sering disebut dalam kalangan kita untuk membuktikan bahawa ia adalah sukan kegemaran Baginda. Hadis tersebut ialah:
عَلِّمُوْا أَوْلَادَكُم الرِّمَايَةَ وَرَكُوْبَ الخَيْلِ وَالسِّبَاحَةَ
Maksud: “Ajarilah anak-anak kamu memanah, menunggang kuda dan juga berenang.”
Sewaktu saya belajar sukan ini juga, jurulatih saya sering mengungkapkan kata-kata ini yang dianggap datang daripada Baginda SAW. Namun, tahukah anda sebenarnya status hadis ini adalah lemah berdasarkan perawi dan sanadnya.
Menurut penjelasan yang telah dinukilkan oleh Mufti Wilayah , terdapat beberapa perawi dalam hadis ini yang lemah dan ditolak hadisnya, iaitu Ubaid Al-Atthar dan Bakar bin Abdillah bin Rabi’ Al-Ansari.
Tambahnya lagi, ia bukanlah kata-kata daripada Baginda SAW tetapi sebenarnya merupakan kata-kata daripada Umar bin Al-Khattab.
Walaupun ia bukanlah kata-kata daripada Baginda ataupun dinilai sebagai hadis yang lemah, tetapi terdapat beberapa dalil lain yang sahih statusnya dalam penganjuran terhadap sukan renang, memanah dan berkuda. Bahkan, amat digalakkan untuk mengamalkan sunnah Baginda SAW.
#1- Memanah
Daripada Salamah bin al-Akwa’ RA berkata:
مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى نَفَرٍ مِنْ أَسْلَمَ يَنْتَضِلُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ارْمُوا بَنِي إِسْمَاعِيلَ، فَإِنَّ أَبَاكُمْ كَانَ رَامِيًا ارْمُوا
Maksudnya: “Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah”. (Riwayat al-Bukhari, no. 2899, 3373 & 3507)
Manakala dalam riwayat lain, nabi menganjurkan dengan bersungguh-sungguh agar melibatkan diri dalam aktiviti memanah.
Daripada Uqbah bin Amir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ [الأنفال: 60]، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ
Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah)”. (Riwayat Muslim, no. 1917)
#2- Berenang
Daripada Jabir bin Umair berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ شَيْءٍ لَيْسَ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ فَهُوَ لَهْوٌ وَسَهْوٌ، إِلَّا أَرْبَعَ خِصَالٍ: مَشْيُ الرَّجُلِ بَيْنَ الْغَرَضَيْنِ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَمُلَاعَبَتُهُ أَهْلَهُ، وَتَعَلُّمُ السِّبَاحَةِ
Maksudnya: “Setiap perkara yang tidak disebut nama Allah SWT adalah sia-sia dan lalai melainkan empat benda: Perjalanan seorang lelaki di antara dua matlamat, seorang yang mengajar kudanya, bermesra dengan isteri dan juga belajar berenang”. [(Lihat Mu’jam al-Awsath, no. 8147) – Imam al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawai (269/5) mengatakan bahawa perawi-perawi Thabarani adalah sahih kecuali Abdul Wahab bin Bukht dan dia adalah seorang yang thiqah (dipercayai)]
Hadis di atas menunjukkan bahawa ia bukanlah sukan yang sia-sia untuk dilakukan.
#3- Belajar Menunggang Kuda
Daripada Uqbah bin Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda:
ارْمُوا وَارْكَبُوا
Maksudnya: “Lemparkanlah (panah) dan tungganglah (kuda)”. (Riwayat al-Tirmizi – Imam al-Tirmizi menilai hadis ini sebagai hasan)
Secara umumnya, aktiviti menunggang kuda, memanah dan juga berenang memang sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, cuma ia tidak disebutkan dalam hadis secara bersama-sama sahaja (tiga jenis sukan dalam satu hadis). Semoga kita mendapat manfaat dari sudut kesihatan dan juga pahala kerana mengikut sunnah baginda.
Wallahu a’alam.
No comments: