Ads Top

Apa Itu Istidraj Dan Dalil Allah Mengenainya

Ada orang yang banyak melakukan dosa dan kesalahan, namun masih lagi dikurniakan nikmat kekayaan dan juga kesihatan. Ada insan yang tidak solat, namun popularitinya masih lagi melonjak sehingga terus-menerus diagungkan manusia.

Dalam Islam, ia digelar sebagai istidraj. Ia merupakan hukuman yang diberikan Allah kepada hambaNya namun dalam keadaan tidak sedar dan merasa senang dengan nikmat ‘hukuman’ tersebut. Dalam erti kata lain, Allah memberikan nikmat yang melimpah ruah kepadanya sehingga menjauhkannya daripada kasih sayang Allah.

Jumhur ulama menyimpulkan bahawa ia merupakan suatu hukuman yang sangat berat buat manusia kerana mereka tidak sedar akan perkara tersebut, bahkan terus lalai menikmatinya sehingga melupakan Allah.

Allah memberikan nikmat kurnia kepada hambaNya yang bertaqwa dan taat dalam ibadah serta amalan seharian. Bahkan, golongan ini selalunya diuji dengan ujian yang berat namun bersesuaian dengan kemampuan diri sendiri untuk diangkat lagi darjatnya.

Namun, golongan yang ditimpa istidraj ini kebiasaannya akan terus-menerus diberikan nikmat walaupun dirinya tidak taat kepada Allah dan melanggar apa yang dilarang.

Berikut merupakan beberapa dalil dari Allah SWT berkenaan dengan tanda-tanda mereka yang telah atau sedang ditimpa istidraj:

#1 – Harta Yang Dibelanjakan Untuk Manusia Menjauhkannya Dari Allah

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ

Mafhum: “Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.” (Surah Al-Anfal, 8:36)

#2 – Harta Yang Diperoleh Sebagai Ujian

فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُونَ

Mafhum: “Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).” (Surah At-Taubah, 9:55)

#3 – Rezeki Yang Melimpah Walaupun Bergelumang Dosa

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Mafhum: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Al-A’raf, 7:96)

Kesimpulan

Jika anda merasa terlalu senang dan lapang dengan kehidupan dunia dan menyangka bahawa hidup anda tidak banyak dengan ujian, ketahuilah bahawa ia juga merupakan sebuah ujian, sama ada istidraj atau tidak, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Namun, sebagai manusia yang sedar akan perkara ini, sentiasalah meminta kepadaNya agar hati anda sentiasa terikat di jalanNya.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Istidraj, Nikmat Dalam Dosa




No comments:

Powered by Blogger.