Ads Top

Tersilap Arah Kiblat – Perlukah Mengqada’ Semula Solat

Seiring dengan perkembangan teknologi, kemudahan untuk segala urusan menjadi lebih efisien dan menyenangkan pengguna termasuklah wujudnya beberapa aplikasi yang membolehkan golongan muslim untuk membaca Al-Quran melalui telefon mahupun mencari kiblat.

Kebanyakan pengguna yang memuat turun aplikasi-aplikasi ini adalah untuk menjalani kehidupan seharian dengan mudah.

Walau bagaimanapun, timbul isu apabila berlakunya kesalahan yang dilakukan oleh sesetengah aplikasi ini, iaitu apabila arah kiblat yang diberikan salah atau tidak sepenuhnya tepat.

Malah, terdapat juga beberapa persoalan yang dikemukakan – perlukah mengqada’ semula solat yang salah arah kiblat?

Bagaimana pula dengan mereka yang telah solat bertahun-tahun dengan berpandukan kepada arah kiblat yang salah?

Wajib Mencari Arah Kiblat

Menurut Imam Ibnu Utsaimin dan beberapa riwayat ulama lain, mereka berpendapat bahawa wajib mencari tahu arah kiblat sebelum menunaikan solat.

Cara yang terbaik ialah dengan menanyakan mereka yang lebih lama di situ. Kemudian, boleh digunakan aplikasi yang ada.

Jika hanya bergantung kepada aplikasi, bimbang jika kiblat yang ditunjukkan itu kurang tepat atau tersalah.

Wajib solat menghadap arah kiblat. Ini ada disebut melalui kalamNya yang berbunyi:

فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ

Mafhum: “Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.”

Tidak boleh bergantung kepada ijtihad sendiri (menentukan sendiri kiblat tanpa berusaha) kerana bimbang akan wujudya kesilapan dan perasaan yang was-was.

Terdapat beberapa pendapat ulama berkenaan perlu atau tidak mengqada’ solat bergantung kepada situasi, iaitu:

#1 – Menentukan Kiblat Tanpa Berusaha

Wajib mengqada’ solat sama ada sudah lama menetap di situ mahupun baru. Hal ini kerana, penentuan arah kiblat tersebut bukan berdasarkan usaha yang mantap tetapi berpandukan firasat sahaja.

Menurut pendapat Mufti Wilayah, jika seseorang itu solat tanpa ilmu pengetahuan berkenaan kiblat sama ada tanpa bertanya atau menggunakan aplikasi yang ada, maka solatnya adalah tidak sah kerana dia dianggap cuai.

Oleh itu, wajib ke atasnya untuk mengqada’ solat yang telah dilakukan selama dia tersalah kiblatnya.

#2 – Tersalah Kiblat Setelah Berusaha

Dalam situasi ini, terdapat beberapa pendapat oleh beberapa pandangan mazhab, iaitu:

#a – Wajib mengqada’ semula solat jika kiblat tersebut salah. Hal ini adalah berdasarkan pendapat beberapa ulama Mazhab Syafi’e.

Jika dia baru menginap di situ, maka wajib mengqada’ berdasarkan bilangan solat yang telah dilakukan selama dia salah.

#b – Jika sudah lama menginap di sesebuah tempat tersebut – seperti sudah tiga tahun berpindah ke kawasan kampung itu, maka perlu mengqada’ setakat kemampuan diri sendiri.

Walau bagaimanapun, menurut pendapat beberapa ulama yang lain, kesalahan ini adalah dimaafkan dan tidak perlu mengqada’ semula solat kerana dia telah berijtihad dengannya.

#c – Situasi lain seperti tersesat di dalam hutan atau pergi berkhemah dan tiada cara lain untuk menentukan arah kiblat, maka seseorang itu perlu solat bagi menghormati waktu dan wajib ke atasnya untuk mengqada’ semula solatnya.

Walau bagaimanapun, jika diyakini arah kiblat semasa di dalam hutan tersebut sama ada dengan berpandukan arah bintang atau sebagainya dan dia bersolat berpandukan arah tersebut, namun didapati salah, maka tidak wajib ke atasnya untuk mengqada’ semula solat.

Hal ini kerana, seseorang itu telah berijtihad dan meyakininya sebelum solat.

#3 – Kiblat Yang Berubah

Selalunya pihak-pihak bertanggungjawab atau organisasi akan mengukur kembali kiblat apabila berlakunya fenomena Istiwa’ A’dzham, iaitu apabila kedudukan matahari yang berada tepat di atas kaabah.

Fenomena ini biasanya akan berlaku dua kali setahun iaitu pada bulan Mei dan Julai. Dengan ini, setiap muslim boleh menyemak sendiri arah kiblat.

Jika kiblat berubah disebabkan peristiwa-peristiwa ini, maka solatnya yang sebelum ini sah dan tidak perlu mengqada’ semula.

Bagaimana Betulkan Orang Yang Salah Kiblat

Sebagai umat Islam yang saling bersaudara, adalah menjadi tanggungjawab sesama kita untuk menegur atau memberitahu arah kiblat yang betul kepada seseorang.

Sebagai contoh, jika anda mempunyai penghuni rumah yang baru menyewa, maka perlu memberitahunya mengenai arah kiblat yang betul di dalam rumah tersebut.

Walau bagaimanapun, jika anda bersolat di tempat yang umum seperti di surau kompleks membeli-belah atau melihat seseorang yang sedang solat secara terbuka, namun dalam keadaan kiblat yang salah sedangkan anda tahu arah yang betul, maka perlu untuk memberitahu arah kiblat tersebut.

Menurut pendapat beberapa ulama, terdapat dua cara yang boleh dilakukan untuk menegur mereka yang tersalah kiblat, iaitu:

#1 – Bersolat di hadapannya dengan arah kiblat yang betul. Orang yang bersolat dengan kiblat yang salah itu wajib membetulkan kiblatnya tanpa membatalkan solatnya, iaitu melakukan pergerakan tidak melebihi tiga kali.

#2 – Memusingkan badannya dengan menggunakan tangan secara perlahan-perlahan tanpa membatalkan solatnya.

Kesimpulan

Bersolat menghadap kiblat merupakan salah satu syarat sah solat. Oleh itu, wajib ke atas setiap muslim untuk bersolat ke arah kiblat yang betul menggunakan ijtihad yang telah dilakukan.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.