Ads Top

Bolehkah Bertemu Semula Dengan Kucing Kesayangan Di Syurga

Ada yang berkata bahawa dunia ini tidak adil. Orang yang berpengaruh, berpangkat dan berharta mudah sahaja menggunakan wang untuk membeli keadilan di dunia. Yang bersalah pun sukar sekali diadili dengan saksama.

Namun, di akhirat kelak, keadilan yang diberi oleh Allah meliputi setiap makhluk yang ada di muka bumi, tidak kira manusia mahupun binatang.

Dalam artikel kali ini, Tzkrh ingin berkongsi dengan para pembaca tentang persoalan – bagaimana haiwan diadili di akhirat?

Bagaimana Haiwan Diadili Di Akhirat

Pertama, apa yang harus dipercayai adalah setiap binatang akan dikumpulkan pada hari kiamat.

Keyakinan ini disandarkan kepada beberapa dalil yang jelas daripada Al-Quran.

ÙˆَØ¥ِØ°َا الْÙˆُØ­ُوشُ Ø­ُØ´ِرَتْ

“Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan” (Surah At-Takwir 81:5)

“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).” (Surah Al-An’am 6:38)

Kedua, haiwan dibangkitkan dan dikumpulkan bukan untuk diadili amalan mereka tetapi untuk diqisas atas apa yang dilakukan sesama binatang.

Dari Abu Hurairah R.anhu, Nabi SAW bersabda,

Ù„َتُؤَدُّÙ†َّ الْØ­ُÙ‚ُوقَ Ø¥ِÙ„َÙ‰ Ø£َÙ‡ْÙ„ِÙ‡َا ÙŠَÙˆْÙ…َ الْÙ‚ِÙŠَامَØ©ِ Ø­َتَّÙ‰ ÙŠُÙ‚َادَ Ù„ِلشَّاةِ الْجَÙ„ْØ­َاءِ Ù…ِÙ†َ الشَّاةِ الْÙ‚َرْÙ†َاءِ

“Sungguh semua hak akan dikembalikan kepada pemiliknya pada hari kiamat. Sampai diqisas kambing yang tidak bertanduk kepada kambing yang bertanduk.” (HR. Ahmad, no. 7404 & Muslim, no. 6745)

Imam An-Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim mengatakan bahawa hadis di atas merupakan dalil yang tegas bahawa binatang juga akan dibangkitkan dan dikumpulkan pada hari kiamat, sama seperti manusia.

Namun pengadilan ke atas mereka tidak sama dengan pengadilan bagi manusia kerana mereka tidak dipertanggungjawabkan dengan syariat. Tetapi mereka hanya akan diqisas untuk pengadilan atas apa yang berlaku antara binatang. (Rujuk Syarh Sahih Muslim oleh Imam Nawawi)

Bolehkah Berjumpa Semula Kucing Kesayangan Di Syurga

Bagi mereka yang suka memelihara binatang peliharaan pula pasti sangat menyayangi mereka. Malah ada yang menganggap kucing sebahagian daripada keluarga. Itulah peneman saat sunyi dan sedih. Ada pula yang bercakap dengan binatang dan mengharapkan mereka akan faham. Dan apabila mereka mati, kehilangan mereka pasti dirasai.

Adakah kita akan berjumpa lagi dengan haiwan kesayangan di akhirat kelak?

Seperti yang telah diterangkan, proses pengadilan ke atas haiwan tidak sama seperti manusia. Selepas haiwan diqisas, mereka akan kembali menjadi tanah.

Abu Hurairah R.anhu, Rasulullah SAW bersabda,

Semua makhluk akan dikumpulkan pada hari kiamat, binatang, haiwan liar, burung-burung dan segala sesuatu, sehingga ditegakkan keadilan Allah, untuk memindahkan tanduk dari haiwan-haiwan bertanduk kepada yang tidak bertanduk (lalu dilakukan qisas). Kemudian Allah berfirman, ” Kalian semua, jadilah tanah.” Di saat itulah orang kafir mengatakan, “Andai aku jadi tanah.” (HR. Hakim, no. 3231. Disahihkan oleh Ad-Zahabi)

Namun, ada perbualan menarik yang pernah berlaku antara seorang Arab Badwi dan juga Rasulullah SAW berkenaan hal ini.

Lelaki ini bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta?”

Lalu baginda menjawab, “Wahai Arab Badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga InsyaAllah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu”. (Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibnu Jarir – 2/641)

Jadi, usah risau sama ada anda akan berjumpa semula binatang kesayangan atau tidak. Yang perlu diutamakan adalah amalan yang telah diperintahkan oleh Allah. Kelak, jika anda masuk syurga, segala yang anda inginkan akan dikabulkan oleh Allah SWT. InsyaAllah.

Rujukan:

Konsultasisyariah.com




No comments:

Powered by Blogger.