Ads Top

“Terima Kasih Guru” – Teruskan Beradab Walau Sudah Bergraduasi

‘Demam’ graduasi dan tamat persekolahan masih lagi menular dalam diri kalangan pelajar dan mereka yang baru sahaja selesai menjalani peperiksaan sama ada SPM mahupun PMR.

Apabila ditatal laman-laman sosial, banyak yang meluahkan perasaan gembira dan syukur pada guru dan ibu bapa melalui ucapan mereka disertakan dengan gambar graduasi.

Tidak cukup dengan itu, ada juga segelintir pelajar yang menunjukkan aura dan sikap negatif seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini – merosakkan harta benda sekolah dan menganggu-gugat ketenteraman awam.

Apabila dibaca komen-komen yang ditinggalkan oleh netizen, masing-masing mengecam tindakan tersebut dan menganggap ia sebagai sikap yang tidak beradab dan tiada rasa tanggungjawab.

Walaupun telah tamat alam persekolahan mahupun universiti, namun sesi pembelajaran di dunia tidak akan pernah habis. Manusia itu sifatnya akan sentiasa belajar sehingga ke liang lahad.

Tiada asbab untuk menjadi golongan yang kurang adab dengan alasan telah tamat alam persekolahan. Kehidupan ini sendiri sebuah ‘sekolah’ kepada setiap yang bernyawa.

Harapan seorang guru yang telah menabur ilmu kepada pelajarnya bukan sahaja untuk melihat mereka berjaya menggapai menara gading, malah lebih dari itu – menjadi seorang yang beradab dan mampu memberi manfaat kepada sekeliling, itu yang lebih utama.

Walau setinggi mana seorang pelajar itu mampu jejak, namun jika tiada adab dan kurang common sense, kita akan dipandang lebih rendah daripada mereka yang tidak pernah ke sekolah.

Salah satu cara untuk membalas jasa guru anda ialah dengan menunjukkan contoh dan akhlak yang terbaik bukan untuk orang lain, malah untuk diri anda sendiri. Yang paling penting ialah, sentiasa mengingati bahawa guru yang menabur ilmu itu ingin melihat anda menjadi manusia yang berjaya dunia dan akhirat.

Ini ialah beberapa cara yang boleh dilakukan bagi menunjukkan pernghargaan dan ucapan terima kasih anda kepada para guru:

#1 – Jangan Pernah Lupa Budi

Apabila berjumpa dengan guru atau ahli keluarganya sama ada ketika berjalan di taman atau pasar, cuba untuk tegur atau senyum pada mereka. Jangan pernah lupakan mereka atau bertindak berpura-pura tidak mengenali mereka.

#2 – Beri Sumbangan

Cuba untuk memberi sumbangan sama ada kepada sekolah atau program-program yang dianjurkan oleh pihak universiti sekadar mampu. Paling tidak, boleh cuba tunjukkan tanda sokongan anda dengan menghadiri program tersebut atau membantu mempromosikannya.

#3 – Jadikan Diri Anda Sebagai Manfaat Kepada Semua

Setiap guru mahupun ibu bapa ingin melihat anak mereka menjadi orang yang berjaya dan mampu memberi manfaat kepada semua orang. Berdasarkan bidang yang anda ceburi, cuba untuk lakukan sesuatu yang boleh menggembirakan sekeliling anda.

Elakkan daripada melakukan perkara-perkara di luar jangkauan dan yang tidak memberi faedah kepada semua orang. Yang paling penting, berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak.

Kesimpulan

Jika anda merasakan bahawa anda bukanlah pelajar yang cemerlang, tidak mampu menggapai sebarang anugerah sepanjang perjalanan pembelajaran anda, ketahuilah ia hanya sekadar apa yang anda fikirkan kepada diri anda sendiri.

Yang paling penting ialah sikap dan adab yang anda tonjolkan kepada dunia. Jika anda seorang yang beradab, maka anda ialah pelajar yang betul-betul cemerlang.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.