Ads Top

Kebaikan Kecil Yang Boleh Dilakukan Dalam Perjalanan Ke Tempat Kerja

Perjalanan ulang-alik ke tempat kerja pada waktu pagi dan petang selalunya dilalui dengan keadaan tergesa-gesa. Kelam kabut mengejar bas, tren atau jika anda memandu, anda akan berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, atau sikap pengguna jalan raya lain yang menyakitkan hati. Kadang-kadang rutin ini terasa biasa dan diulang-ulang sehingga terasa jemu.

Islam sentiasa menekankan cara hidup yang berkualiti dan terbaik dalam apa jua situasi dan keadaan. Setiap perkara perlu dimaknai agar ia dinilai sebagai amal di sisi Allah. Dalam hal berkait dengan perjalanan ke sesuatu tempat juga begitu.

Ada satu video berbahasa Thailand – yang memaparkan kehidupan seorang lelaki yang berjalan kaki ke tempat kerja berubah apabila dia sentiasa melakukan kebaikan-kebaikan kecil sepanjang perjalanannya. Dia membantu orang tua melintas jalan, menggerakkan pasu supaya terkena air yang selalu dicurahkan dari tingkat bangunan, juga memberi makan kepada budak kecil.

Ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk menjadikan perjalanan anda lebih bermakna seperti itu dan diberkati.

#1- Mendengar Pengisian Audio Podcast

Jika dahulu kita sering memasang radio atau lagu-lagu sahaja ketika mengisi masa lapang menunggu, kini kita ada pilihan yang lebih baik. Anda boleh memasang pengisian rancangan audio dalam bentuk podcast yang mudah diakses di mana-mana.

Muat turun sahaja aplikasi Spotify daripada Google Play dan anda boleh memilih apa jua genre pengisian audio yang anda gemari sama ada pendidikan, sukan, politik, agama dan lain-lain.

Tidak ada lagi celoteh panjang, atau borak kosong daripada penyampai yang bercakap. Anda boleh terus mendapatkan input yang anda mahukan dalam masa singkat.

#2- Zikir Yang Sedikit Tetapi Berat Ganjarannya

Pilihan lain yang boleh anda lakukan adalah dengan mengucapkan zikir perlahan. Ia tidak semestinya panjang dan banyak.

Ada suatu zikir yang jika diucapkan hanya sebanyak tiga kali, maka ganjarannya seperti berzikir sepanjang tempoh waktu dhuha. Zikir tersebut ialah:

“Subhanallahi wa bihamdihi, adada khalqihi, wa ridha nafsihi, wa zinata ‘arsyihi, wa midaada kalimaatihi

(Maha suci Allah, dan segala puji bagiMu, sebanyak mungkin setiap ciptaan Allah, sehingga diriNya redha, seberat arasyNya, dan sebanyak kalimatNya)

#3- Memberi Laluan Kepada Pejalan Kaki

Semua orang ingin cepat ke tempat kerja pada waktu pagi. Trafik yang sibuk akan melambatkan mereka yang ke tempat kerja dengan menaiki kenderaan awam dan perlu berjalan kaki. Kadang-kadang, ada yang perlu menunggu lama di lampu isyarat sehingga kenderaan reda sebelum dapat melintas. Lebih teruk lagi jika cuaca hujan dan mereka perlu berpayung.

Apa kata berikan laluan kepada pejalan kaki yang ingin melintas. Secara tidak langsung anda telah melakukan kebaikan dan memudahkan urusan orang.

#4- Memberi Tempat Duduk Kepada Orang Yang Memerlukan

Jika anda ke tempat kerja dengan menaiki kemudahan awam pula, mungkin anda perlu lebih peka dengan keperluan pengguna pengangkutan awam yang lain seperti OKU, warga emas. ibu mengandung dan juga kanak-kanak.

Anda boleh memberikan tempat duduk kepada mereka atau memberitahu orang lain supaya memberikan tempat duduk mereka kepada golongan ini. Jangan risau, anda pasti tidak akan dimarahi kerana tindakan anda tidak salah.

#5- Menyediakan Duit Kecil Untuk Mudah Diberikan Kepada Peminta Sedekah

Sesekali mungkin kita akan terserempak dengan gelandangan atau peminta sedekah yang berada di jalanan. Sediakan wang kecil pada poket beg yang mudah anda capai tanpa perlu mengeluarkan beg dompet yang besar.

#6- Membawa Makanan Kucing Bersama-sama

Selain melakukan kebaikan kepada orang, anda juga boleh melakukan kebaikan kepada binatang. Jika anda pencinta kucing, anda juga boleh mencintai kucing-kucing di jalanan walaupun tidak memelihara mereka. Caranya dengan membawa makanan kucing dan bekas kecil untuk diberikan kepada kucing yang berkeliaran di jalanan. Namun pastikan perbuatan tersebut tidak mengotorkan laluan pejalan kaki dan mengganggu pengguna yang lain.

#7- Mendoakan Orang Yang Telah Melakukan Kebaikan Kepada Anda

Kata orang, kebaikan adalah suatu yang berjangkit. Jika anda mula melakukan kebaikan yang kecil kepada orang, lambat laun suatu hari nanti, kebaikan tersebut akan sampai semula kepada anda.

Jadi jika ada pengguna jalan raya yang lain melakukan kebaikan yang sama kepada anda, doakanlah mereka supaya mereka diberi kemudahan dalam urusan, kebaikan dan ganjaran yang berganda. Sesungguhnya doa-doa yang tersebut bukan hanya didengari oleh Tuhan tetapi akan turut diaminkan oleh para malaikat.

Kesimpulan

Demikian sedikit sebanyak perkara yang dapat anda lakukan ketika anda dalam perjalanan ke tempat kerja. Tanpa anda sedari, hari-hari anda yang biasa dan membosankan akan terasa lebih bermakna.




No comments:

Powered by Blogger.