Ads Top

Isu Solat Jama’ Qasar – Bolehkah Solat Jama’ Dan Qasar Di Kampung Halaman

Solat adalah ibadah yang wajib dilakukan walau dalam keadaan apa sekalipun. Banyak rukhsah yang telah disediakan, contohnya posisi solat ketika sakit, solat yang boleh dihimpunkan dalam satu waktu, serta bilangan rakaat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat sahaja.

Umum mengetahui solat jama’ (menghimpunkan) dan qasar (memendekkan) boleh dilakukan dalam keadaan seseorang itu bermusafir. Namun, masih terdapat kekeliruan terjadi ketika seseorang itu ingin melakukan solat jama’ dan qasar.

Dalam perkongsian kali ini, Tzkrh ingin berkongsi tentang keadaan musafir yang khusus buat mereka yang akan pulang ke kampung. Terlebih dahulu, mari kita ketahui maksud di sebalik ‘mastautin’ dan ‘mukim’.

Maksud Mastautin

“Orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain”

Maksud Mukim

Orang yang bermusafir dan tinggal di suatu tempat lebih daripada tiga hari dan tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ (Rujuk Al-Muhazzab fi Fiqh Al-Imam As-Syafie, m/s 195)

Selain itu, perlu juga diketahui syarat asas untuk menunaikan solat jama’ dan qasar iaitu:

1. Perjalanan yang melebihi dua marhalah
2. Tempoh tinggal di sesuatu tempat tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk perjalanan pergi dan pulang)
*Namun jika seseorang telah berniat dari awal untuk tinggal di tempat yang dituju melebihi empat hari, maka rukhsah untuk dia menunaikan solat jama’ dan qasar telah hilang sebaik sahaja dia sampai.

Situasi 1:

Imran berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sana. Tempat tinggal keluarga dan ibu bapanya pula di Kuantan, Pahang. Dia hanya pulang ke kampung sebulan sekali atau jarang-jarang sahaja. Dia tidak berniat untuk tinggal selama-lamanya di Kuala Lumpur, kerana ada keinginan untuk pulang semula menetap di kampung tetapi tidak tahu bila.

Dalam keadaan ini, Imran hanya dikira bermukim sahaja di Kuala Lumpur, dan tidak dikira bermastautin kerana mempunyai niat untuk ‘pulang semula di Kuantan, Pahang tetapi tidak tahu bila‘. Kuantan, Pahang dikiran watan bagi dirinya dan dia tidak boleh menunaikan solat Jama’ Qasar apabila pulang ke sana walaupun kepulangan tidak lebih tiga hari atau hanya balik sekali-sekala sahaja.

Keadaan ini juga terpakai kepada para pelajar yang menyambung pelajaran jauh daripada kampung halaman. Bererti apabila pulang ke rumah bercuti, seseorang itu tidak boleh menunaikan solat jama’ dan qasar.

Manakala, apabila mereka pulang kembali ke tempat belajar/bekerja, mereka juga tidak boleh menunaikan solat jama’ dan qasar apabila sampai kerana sudah pasti niat asal untuk tinggal di tempat bekerja/ belajar lebih daripada tiga hari (tempat bermukim). Solat jama’ dan qasar boleh dilakukan sewaktu dalam tempoh perjalanan sahaja.

Situasi 2:

Amri berasal dari Terengganu, namun sudah menetap, bekerja dan berkeluarga di Kuala Lumpur selama bertahun-tahun.

Dalam keadaan ini, jika dia sudah berniat untuk menjadi warga tetap di Kuala Lumpur serta tidak berniat untuk menjadi warga tetap di kampung asal. Maka dia sudah dikira bermastautin (watan) di Kuala Lumpur, dan bermusafir apabila pulang ke kampung di Terengganu.

Dalam keadaan ini dia boleh menunaikan solat jama’ dan qasar apabila pulang ke kampung (bagi tempoh tiga hari tidak termasuk hari pergi dan pulang).

Justeru, kedua-dua keadaan ini dibezakan dengan niat seseorang itu sendiri ketika tinggal di suatu tempat. Semoga perkongsian ringkas ini dapat menghuraikan kekeliruan berkaitan solat jama’ dan qasar apabila pulang ke kampung.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.